Sunday 31 March 2013

FILIPINA PUAS HATI LAYANAN TAHANAN SOSMA






TAWAU : Kedutaan Filipina di Malaysia berpuas hati dengan layanan terhadap rakyatnya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dinyatakan wakil kedutaan berkenaan yang melawat lapan pengganas Sulu yang kini ditahan di Penjara Tawau di sini.

Wakil Kedutaan Filipina menemui kesemua tahanan terbabit di Penjara Tawau pada 27 Mac lalu, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Hishammuddin berkata Malaysia memberi ruang seluas-luasnya kepada wakil kedutaan untuk berjumpa tahanan terbabit. Jika ada pihak yang sangsi dengan layanan pihak penjara, mereka boleh merujuk terus kepada Penjara Tawau atau Kedutaan Filipina, bukan merujuk laporan media sosial, katanya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata beliau juga dimaklumkan kedutaan itu akan menguruskan soal pelantikan peguam untuk lapan tahanan berkenaan yang berhadapan tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas.

Mengenai keupayaan Sosma dalam mengendalikan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna itu, Hishammuddin berkata setakat ini pelaksanaan peraturan-peraturan di bawah Sosma berjaya membendung insiden tersebut.

"Dulu orang kata dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, kita tak ada kuasa. Tetapi kita tahu bahawa pemansuhan ini diganti dengan akta baharu iaitu Sosma. Di bawah akta baharu ini bukan sahaja mencukupi mengimbangi hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi mengimbangi kepentingan nasional dan keselamatan nasional. Dalam kes ini keselamatan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya.

Hishammuddin juga berkata penjara Sabah dengan 1,085 pegawai dan anggota mampu mengawal populasi penjara atau banduan di negeri itu yang kini berjumlah 4,530 orang.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Bahagian Keselamatan Dalam Negeri sudah membuka bilik gerakan di Kota Kinabalu bagi menerima dan menyalur maklumat tepat kepada orang awam berkenaan perkembangan semasa insiden pencerobohan itu. Katanya anggota masyarakat boleh berhubung terus dengan bilik gerakan itu melalui talian 088-488850. (Bernama)

No comments:

Post a Comment