Monday 25 March 2013

GLOBAL WITNESS CUBA JADI JAGUH KAMPUNG?






Oleh : MUTALIB M.D

PENDEDAHAN beberapa Videoklip oleh Global Witness termasuk 'Di Sebalik Bayang-Bayang Sebuah Negeri Di Malaysia' menunjukkan satu lagi usaha pihak luar untuk campurtangan soal dalaman Sarawak; setelah Bruno Manser Foundation (BMF) gagal dalam percubaannya sebelum ini.

Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi menegaskan demikian ketika diminta memberikan ulasan berhubung isu rasuah dan penyelewengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dilaporkan dalam videoklip berkenaan.

"Pihak luar tidak faham undang-undang Malaysia dan mudah dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan untuk memburukkan Malaysia melalui tuduhan liar mereka; tetapi kita percaya rakyat Malaysia, terutama di Sarawak dan Sabah tidak mudah diperbodohkan; sekalipun responden videoklip berkenaan ialah sepupu Taib Mahmud sendiri," ujar Raime yang mengklasifikasikan video berkenaan sebagai fitnah dan tidak berasas.

Kata Raime, untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung isu yang dilaporkan Global Witness, laporan rasmi perlu difailkan dan maklumat tepat akan diperolehi terlebih dahulu sebelum Panel Siasatan memutuskan untuk menjalankan siasatan berhubung isu yang dilaporkan atau sebaliknya.

"Setakat ini, kita tidak mendapat sebarang maklumat berhubung sebarang laporan yang dibuat oleh sebarang pihak untuk membolehkan SPRM membuka fail dan menjalankan siasatan berhubung segala tohmahan dalam videoklip ini," kata Raime yang menjelaskan konspirasi kedua ini adalah kesinambungan daripada Skandal Balak yang ditaja penyiarannya oleh BMF sebelum ini.

Tegas Raime, isu paling ketara ialah berhubung Cukai Perolehan Hartanah (Real Property Gain Tax-RPGT) yang dinayatakan dalam Videoklip berkenaan yang sengaja disensasikan dan tidak mungkin berlaku di Malaysia; melainkan di luar negara.

Dengan sistem percukaian terbaik dan mencatatkan lebih RM100 bilion setahun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Raime, bukanlah sebegitu mudah boleh diperdaya oleh sepupu Taib Mahmud, sekalipun dengan kerjasama Skandal Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA).

"Segala kadar cukai RPGT dilakukan secara sistematik dan berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian Harta atau Agensi Penilaian Swasta yang berwibawa dan bukannya berdasarkan taksiran atau pengakuan peribadi pemilik atau pembeli hartanah atau berlandaskan Perjanjian Jual Beli semata-mata,"kata Raime yang menggesa agar rakyat Sarawak dan Sabah tidak hilang tumpuan terhadap halatuju arah sokongan politik mereka pada Pilihanraya Umum akan datang.

Kata Raime, rakyat Sarawak sudah cukup matang untuk menepis segala tohmahan pembangkang atau pihak yang bersekongkol untuk menjatuhkan Kerajaan negeri Sarawak melalui pelbagai cara termasuk Video Fitnah dengan kerjasama anasir luar dan dibiayai oleh Parti Pembangkang melalui dana NED dan Yahudi.

Sebagai Ahli Parlimen Malaysia, Raime yang dijangka akan mempertahankan kerusi Parlimen Tenom pada PRU-13 menjelaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Datuk Seri MOhd Najib Tun Razak adalah sebuah kerajaan yang berwibawa dan mampu memenangi PRU-13 dengan penuh bergaya melalui sokongan padu rakyat Malaysia; terutama Sabah dan Sarawak.

"Global Witness tidak perlu jadi jaguh kampung dan sewajarnya bersikap lebih profesional; melainkan memang diupah untuk menjatuhkan Taib dan Kerajaan Sarawak dengan cara halus memerangkap keluarga Abdul Rahman dalam 'perang saudara' dengan Taib," kata Raime yang bertegas bahawa tidak ada isu jenayah di sebalik pendedahan terancang ini.

No comments:

Post a Comment