Tuesday 5 March 2013

HORMATI PERWIRA YANG GUGUR






 Oleh: JACOB BALANG

SIPITANG: Timbalan Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Sabah Sylvester Mutang Dawat, menggesa pemimpin pemimpin politik tidak kira di pihak pembangkang mahupun Barisan Nasional (BN) agar duduk bersama membincang untuk mengatasi masalah keselamatan Negara yang kini semakin meruncing.

Beliau berkata, bukan masanya untuk mana-mana pemimpin menuding jari dan menuduh pihak lain dengan berbagai tuduhan yang tidak berasas yang kebanyakkannya sekadar gimik politik dengan agenda tertentu tetapi sebaliknya mereka lupa kesannya kepada keselamatan Negara.

“Kita perlu menghormati dan bersimpati dengan keluarga perwira kita yang telah gugur dimedan pertempuran baru-baru ini, semata-mata untuk mempertahankan kedaulatan Negara dari dicerobohi oleh petualang asing.

“Saya secara peribadi, tidak bersetuju sama sekali bahawa insiden pencerobohan di Kg Tanduo merupakan suatu sandiwara, namun sebaliknya juga tidak bersetuju jika sesetengah pemimpin dikaitkan pula sebagai dalangnya.

“Tergamakkah pemimpin kita berbuat sedemikian rupa untuk menghancur negara sendiri? Tentunya tidak masuk akal,” kata beliau ketika mengadakan mesyuarat Jentera Pilihanraya Parti Kita Zon Selatan.

Mutang berkata, dalam mendepani tekanan luar yang mengancam keselamatan Negara, beliau mengajak rakyat di segenap lapisan masyarakat agar terus bersatu padu memberi sokongan kepada pejuang barisan hadapan, khususnya Pasukan Keselamatan untuk menumpaskan musuh-musuh Negara.

Dalam pada itu, seluruh penyokong dan ahli Parti KITA mengucapkan takziah kepada keluarga perwira yang telah terkorban semata-mata kerana mempertahankan kedaulatan Negara, semoga mereka (keluarga) tabah menghadapinya kerana segala galanya adalah ketentuan Tuhan yang Mahakuasa.

No comments:

Post a Comment