Tuesday 26 March 2013

PUTERI PASTIKAN GENERASI MUDA UNDI BN






ALBUM....Barisan Ahli-Ahli Puteri UMNO Batu Sapi yang turut menyertai program tersebut.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

BATU SAPI : Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Batu Sapi, Latifah Tahir, berkata kerja keras pihaknya selama ini akan membantu memenangkan calon-calon Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Katanya, jentera parti terutama melibatkan pergerakan itu sudah pun digerakkan terlebih awal apabila program turun padang yang dilaksanakan di kawasan Parlimen P.185 Batu Sapi telah berjaya menarik lebih ramai anak-anak muda untuk terus bersama-sama BN.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap parti semakin tinggi memandangkan sepanjang program rata-ratanya mendapat reaksi dan maklum balas sangat positif ekoran daripada pendekatan murni banyak bertumpu kepada akar umbi khusus pengundi wanita muda.

"Saya yakin calon-calon BN di Parlimen Batu Sapi yang turut melibatkan dua DUN iaitu Sekong dan Karamunting akan menang besar berikutan sokongan penduduk di kawasan ini semakin bertambah baik.

"Mana tidaknya, kebanyakan program yang kita laksanakan banyak menjurus kepada trend dan minat wanita muda seperti bersukan, beriadah termasuklah mendedahkan mereka dengan kursus-kursus kecantikan serta keusahawanan.

"Malahan, kita juga menitikberatkan soal ilmu dan kepakaran yang boleh menjana ekonomi. Saya percaya setiap program yang dilaksanakan telah memberikan manfaat kepada golongan tersebut," jelasnya.

Berucap pada Majlis Himpunan Wanita Muda Parlimen Batu Sapi 2013 di sini, kelmarin  dan  Latifah menegaskan pihaknya juga mengadakan program kemasyarakatan seperti lawatan dari rumah ke rumah, lawatan ke klinik kesihatan dan hospital.

Menurutnya, program dipanggil sebagai 'Projek Puteri Prihatin' itu akan mendekatkan lagi pergerakan dengan masyarakat setempat terutama melibatkan wanita muda sekali gus memberi peluang untuk mendengar masalah dan keperluan mereka.

Beliau terharu dan memberikan keyakinan penuh bahawa BN akan dapat mengekalkan ketiga-tiga kerusinya di Parlimen Batu Sapi ekoran perhatian rakyat setiap kali program yang dilaksanakan mendapat sambutan hebat.

"Justeru, saya mengingatkan pengundi-pengundi di kawasan ini supaya jangan mudah terpengaruh tetapi sebaliknya meneruskan sokongan yang padu kepada parti Umno dan BN yang sentiasa prihatin dengan apa jua keperluan masyarakat," tegasnya.

Dalam pada itu, ujarnya, Puteri Umno Batu Sapi sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Katanya, kerjasama dengan sayap penting parti termasuk rakan-rakan komponen BN yang lain akan membantu memperkukuhkan kekuatan BN di setiap kawasan.

"Keyakinan ini hasil daripada program turun padang yang dilaksanakan menunjukkan sokongan rakyat tidak pernah berbelah-bahagi; apatah lagi Umno yang sentiasa memahami aspirasi ahli-ahlinya," ujarnya.

Latifah menegaskan, parti pembangkang seperti PAS, PKR dan SAPP yang bakal bertanding dan meletakan calon-calonnya di tiga kawasan tersebut akan tumpas di tangan calon-calon BN kerana sejak dari dahulu lagi Karamunting, Sekong termasuk Parlimen Batu Sapi adalah kubu kuat Barisan Nasional. Maka dengan itu jangan mimpi pembangkang untuk  merangkul kerusi-kerusi di kawasan-kawasan yang dimaksudkan itu.

No comments:

Post a Comment