Thursday 28 March 2013

SALLEH CABAR ANWAR TANDING DI SABAH






Oleh : BALIKA HAMSAH


AHLI Parlimen paling berani di Malaysia, Salleh Kalbi (Dr. Palsu) yang sebelum ini pernah menggelarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'Kereta Terpakai'; kini kembali menggegarkan politik Malaysia apabila mencabar Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang bertanding di Sabah.

Salleh yang melobi di saat akhir melalui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia agar dicalonkan semula setelah UMNO Bahagian Silam tidak menamakan beliau sebagai calon; kini menjadi penyokong teras paling tegar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sekaligus merupakan seteru politik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

BERNAMA kelmarin melaporkan bahawa Salleh Kalbi mencabar mana-mana pemimpin pembangkang termasuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Veteran DAP Lim Kit Siang untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Salleh membuat cabaran itu memandangkan terdapat pemimpin pembangkang sebelum ini mendakwa krisis pencerobohan di Kampung Tanduo di sini adalah sandiwara daripada kerajaan Barisan Nasional.

"Jika mereka berani, bertandinglah di sini. Rakyat Sabah tahu siapa yang memperjuangkan nasib mereka selama ini dan bukannya seperti pemimpin pembangkang yang turun padang hanya untuk meraih undi dan merayu simpati.

Kata Salleh lagi, pengundi termasuk masyarakat Cina mahu pun yang bukan Islam sentiasa menyokong kepimpinan yang sedia ada ini.

"Atas dasar itu, saya mencabar pembangkang untuk bertanding di Sabah. Kita tengok sama ada mereka ini berani atau hebat ke tidak," katanya kepada Bernama.

Mengikut rekod, pada pilihan raya umum ke-12, Salleh menewaskan Dr Hashbullah Iman Ohang @ Mohd Taha (PKR) dengan majoriti 9,792 undi.

Pemerhati politik menyifatkan cabaran Salleh adalah sia-sia dan hanya untuk menutup kekecewaan beliau kerana tidak dipilih sebagai calon pada PRU akan datang.

Apatah lagi sebelum ini Sabahkini.net melaporkan bahawa isteri Salleh, Hajjah Fatmah Abdul Aziz adalah PATI yang mendapat kerakyatan songsang dan dikhabarkan akan dipanggil memberi keterangan di hadapan Panel RCI yang akan kembali bersidang April kelak.

Mengikut risikan Sabahkini.net, BN akan menonjolkan kesemua muka baru di Parlimen Silam, DUN Tungku, Lahad Datu dan Kunak; sehingga penyandang bertungkus lumus untuk mempertahankan kedudukan mereka setelah mendengar 'berita' bahawa adik Shafie Apdal, Haji Mohd Yusof Apdal akan diturunkan menggantikan Salleh di parlimen Silam atau Nilwan Kabang di Kunak.

Bagaimanapun menurut Bernama, Salleh berkata beliau akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti sekiranya beliau tidak lagi terpilih sebagai calon untuk kawasan parlimen itu.

No comments:

Post a Comment