Monday, March 11, 2013

UMNO SANDAKAN TIDAK MUNGKIN DIGUGAT









KUTUK....Ampong berucap di majlis tersebut sambil mengutuk keras tindakan kebiadapan Tian Chua.

Oleh: SAIMON S JUMADI


SANDAKAN : Setiap Pusat Daerah Mengundi di kawasan Parlimen Sandakan diarah agar mengemaskinikan jentera pilihan raya di tempat masing-masing sebagai persediaan dan siap siaga bagi menghadapi PRU 13 nanti yang akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Ketua UMNO Bahagian Sandakan, Tan Sri Hj Ampong KK Puyon berkata, PDM perlu sentiasa bersiap sedia untuk memastikan bila tibanya pembubaran Parlimen, tidak menghadapi sebarang masalah, sebaliknya kukuh menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Katanya, jentera parti menerusi PDM hendaklah sentiasa dipantau kerana kunci kemenangan parti turut disumbang hasil peranan PDM yang mengenal pasti kedudukan dan kekuatan parti di setiap kawasan.

"Usaha ini penting kerana peranan PDM sangat penting dalam usaha kita mencapai kemenangan nanti. Sebab itu, ahli jawatankuasa PDM perlu memastikan jentera parti berada dalam keadaan yang baik," jelasnya.

Ampong menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Hari Mengundi Parlimen Sandakan di Medan Selera Tun Razak, di sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sandakan, Datuk Awang Sham Haji Amit; Naib Ketua Bahagian, Datuk Haji Alipudin Puyon; Setiausaha Bahagian, Haji Hamdan Dikong; Bendahari Bahagian, Jainudin Brahim; Ketua Penerangan Bahagian, Abdul Hamid Sabal dan Ketua Wanita, Asnah Haji Tahlil serta Ketua Puteri, Siti Haiba Majid.

Seramai 15 orang yang terdiri dari Ketua-Ketua PDM merangkumi kawasan parlimen ini telah menghadiri majlis taklimat yang menyaksikan ceramah pilihan raya oleh penceramah daripada Biro Tata Negara (BTN). 

Dalam pada itu, Ampong yang juga pemimpin politik veteran di Sabah mengingatkan ahli-ahli Umno agar bersatu padu dan mengelak sikap berpuak-puak.

Ini jelasnya, sikap seumpama itu tidak baik kepada masa depan parti yang selama ini telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

"Namun, apa yang lebih utama ialah sebagai ahli parti Umno, kita mesti sentiasa ada keazaman bagi memperkuat parti agar terus bertambah kukuh dan tidak mudah digugat pihak lawan.

"Dan, paling penting sekali perkukuhkan kerjasama yang baik dengan rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) demi kelangsungan dan kekuatan parti," tambah beliau.

Ditanya mengenai kes Tian Chua yang memperlekehkan pencerobohan di Lahad Datu baru-baru ini, yang telah mengorbankan 8 anggota keselamatan yang gugur dalam serang hendap itu dianggap sebagai  sandiwara UMNO; Ampong berkata perkataan  seumpana ini tidak wajar dikeluarkan kerana benar-benar telah menghiris dan mengguris hati dan perasaan keluarga mereka yang kehilangan anak, mahupun suami tersayang.

Sebagai seorang pemimpin yang bergelar YB  yang disanjung tinggi oleh rakyat, tambah Ampong, perbuatan Tian Chua telah menimbulkan kemarahan, bukan sahaja kepada keluarga mangsa terbabit, bahkan semua rakyat di negara  ini mengutuk sekeras-kerasnya.

“Saya minta pihak PDRM yang telah banyak menerima aduan dan laporan berhubung kes Tian Chua agar mengambil tindakan segera sebab orang seperti ini; bukan saja anti kerajaan bahkan anti kepada kedaulatan negara Malaysia,” tegas Ampong.

No comments:

Post a Comment