Monday 29 April 2013

DUN SRI TANJUNG KEMBALI KEPADA BN?






TAWAU : Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung akan kembali kepada BN pada pilihan raya umum ini.

Menurutnya keyakinan itu berdasarkan sambutan masyarakat terhadap calon BN bagi DUN berkenaan Fung Len Fui, terutama kaum Cina yang memanfaatkan tempoh berkempen ini untuk mengemukakan masalah mereka kepada Fung.

BN Tawau juga optimis dapat mempertahankan kerusi DUN Apas dan Balung serta kerusi Parlimen Tawau, katanya kepada Bernama di sini.

Tawfiq akan mempertahankan DUN Apas manakala Datuk Syed Abas Syed Ali mempertahankan DUN Balung sementara kerusi Parlimen Tawau ditandingi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Tawau dimenangi BN menerusi calon daripada Parti Maju Sabah (SAPP) namun parti itu bertindak keluar daripada BN tidak lama kemudian.

"Transformasi yang diperkenalkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara faktor yang memberi keyakinan kepada rakyat untuk terus dan kembali menyokong BN," katanya.

Pada masa yang sama Tawfiq menggesa jentera pilihan raya BN agar meneruskan momentum kempen pada tahap tertinggi memandangkan hari pengundian semakin hampir.

Katanya walaupun BN optimis dapat menguasai semua tiga kerusi DUN dan kerusi Parlimen Tawau, rakyat dan pengundi harus sentiasa diingatkan mengenai aku janji BN selain kemungkinan yang menimpa negara jika pembangkang diberi ruang memerintah negara. (Bernama)

No comments:

Post a Comment