Wednesday 24 April 2013

KRISIS DIESEL, ANGKARA SIAPA?





KURANG.....Kekurangan minyak diesel ini sengaja dicetuskan oleh pegawai yang bertanggungjawab, dakwa calon BN DUN Elopura.

Oleh : CYRIL LIM

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengarahkan semua stesen minyak  supaya dibekalkan dengan kuota minyak diesel yang secukupnya.

Berhubung dengan krisis kekurangan diesel dan soalselidik terhadap pejabat PPDNKK, perkara ini telah mendapat perhatian daripada  peringkat Kementerian dan seterusnya diarah supaya kuota diesel ditambah dengan kadar segera bagi menyelesaikan masalah  kekurangan bahan bakar ini.

Dalam pada itu, siasatan dalaman turut dijalankan atas sebab-sebab seperti disebutkan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan  Dewan Undangan Negeri (DUN) N45 Elopura, Au Kam Wah.

Beliau mendakwa krisis kekurangan diesel ini sengaja dicetuskan oleh pegawai yang bertanggungjawab yang menyalahguna kuasa,  terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Au yang pada asalnya mempunyai program kempennya untuk berjumpa dengan para pengundi di kawasannya terpaksa menangguhkan  program itu untuk memberi sepenuh perhatian bagi menyelesaikan krisis kekurangan minyak diesel di bandar Sandakan ini.

Beliau juga telah dimaklumkan bahawa kuota diesel telah dilepaskan atas arahan pihak Kementerian tersebut.

Pengarah PPDNKK Sabah Noor Alam Khan turut memberi maklum balas kepada Au bahawa pihaknya telah menerima arahan dan mendapat persetujuan dengan tiga pembekal minyak utama, Shell, Esso dan Petronas bagi menambah bekalan.

Perbekalan akan disalurkan mulai hari ini kepada stesen yang mengalami kekurangan bekalan. Dengan itu, dipercayai bahawa krisis ini dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

Pemantauan

Calon BN ini turut memberitahu kepada media bahawa beliau akan terus memantau isu ini bagi mengelakkan perkara ini berulang.

Au turut merakamkan penghargaannya kepada kedua-dua Calon BN bagi Parlimen Sandakan Datuk Liew Vui Keong dan Datuk Raymond Tan yang bertanding di Tanjung Papat kerana usaha mereka berhubung dengan Kementerian sehingga mendapat maklum balas positif.

Hak yang dinikmati rakyat selama ini tidak boleh dirampas oleh mana-mana pihak! Demikianlah apa yang dikatakan oleh Au berhubung kekurangan minyak diesel yang terus berlaku di Sandakan.

Au telah dimaklumkan oleh pegawai PPDNKK bahawa kerja-kerja pemantauan dan langkah-langkah sedang dilakukan berhubung dengan perkara ini.

Beliau juga mengarahkan pejabat tersebut supaya memberi maklumat kepada semua stesen minyak berhubung kuota diesel mereka beserta lesen-lesen yang diperuntukan.

Didapati bahawa lesen “Community Drumming” ini telah diluluskan tahun ini dan tujuan lesen ini adalah untuk menghantar diesel ke kampung-kampung dan kepulauan yang mana telah diperuntukan dengan kuota sebanyak 1.1 juta liter sebulan.

Adakah kampung-kampung ini betul-betul memerlukan sebegitu banyak bekalan turut dipersoalkan oleh Au.

Pengeluaran lesen “Community Drumming” telah dipersoalkan samada kampung-kampung tersebut memerlukan diesel yang banyak dan  sepatutnya minyak tersebut diangkut di stesen yang paling berdekatan atau terus membina sebuah stesen untuk kampung tersebut.

Kini bekalan minyak diangkut dari depot ke stesen dan kemudiannya diangkut semula ke kampung masing-masing untuk dijual.

Penyeludupan

“Bahan bakar ini mudah diselewengkan. Terlalu banyak ruang untuk berlakunya penyeludupan ke kilang-kilang industri atau kawasan ladang yang kini membeli diesel industri dengan harga di antara RM2.60 hingga RM2.70 seliter sedangkan diesel yang dinikmati rakyat berharga RM1.80 seliter.

Tidak hairan sekiranya penyeludupan ini dilakukan sehingga dijual ke negara-negara jiran. Tujuan pemberian subsidi minyak didiesel ini  adalah merupakan usaha kerajaan BN agar rakyat menikmati harga minyak yang lebih rendah dari harga di pasaran antarabangsa.

“Ini adalah hak yang dinikmati oleh rakyat yang tidak boleh sekali-kali dirampas atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak,” tegas Au.

Calon BN ini turut merasa tidak puas hati dan tidak dapat menerima bahawa Sandakan boleh menghadapi masalah kekurangan diesel.

Sekiranya betul-betul berlaku penyeludupan, sindiket ini semestinya melibatkan orang yang berkuasa yang berselindung disebalik tabir yang begitu berani menjual hak rakyat.

Orang ini disifatkan sebagai penjual negara sehingga negara rugi, kehidupan rakyat terjejas. Mereka tidak boleh ditoleransi dan dimaafkan kerana hak rakyat telah dinafikan.

Pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Cawangan Sandakan telah dimaklumkan tentang perkara ini agar dapat menjalankan siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment