Sabahkinitv Production

Loading...

Wednesday, April 17, 2013

OPS PACAK II SEPANJANG TAHUN





POTONG.....Matrang (tiga kiri) dan Abidin (dua kanan) memotong riben sebagai gimik perasmian.

By : YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Operasi Bersepadu (Ops Pacak II) akan dilaksanakan sepanjang tahun 2013 berbanding hanya 21 hari pada tahun 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili  berkata Ops Pacak dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penjualan rokok seludup di Bandaraya Kota Kinabalu.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi mengadakan Operasi Bersepadu bagi membanteras penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup.

“Jika sebelum ini operasi ini diadakan di pintu utama negara seperti di kawasan sempadan tetapi kini perlaksanaan itu ditumpukan di kawasan bandar utama di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melancarkan Ops Pacak II di sini kelmarin.

Beliau berkata, rokok adalah salah satu produk yang sangat kritikal dan kerap diseludup kerana permintaan dan kadar cukai yang sangat tinggi.

Katanya, peratusan rokok kontraban di Sabah adalah setinggi 81 peratus, ia daripada bermakna 10 paket rokok yang dijual di Sabah, lapan daripadanya adalah rokok seludup.

“Aktiviti penyeludupan rokok juga telah menyebabkan kerajaan kerugian RM1.9 bilion dari hasil rokok yang tidak dapat dikutip setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata aktiviti penjualan rokok seludup di Kota Kinabalu sangat ‘menjolok mata’ sehingga membantutkan usaha DBKK mencapai visinya untuk menjadi bandaraya berkonsepkan pelancongan.

Katanya, DBKK bersetuju dengan Ops Pacak dijalankan secara berterusan kerana DBKK sering mendapat aduan awam berhubung isu penjualan rokok seludup di sekitar bandaraya.

“Saya juga berharap agar pihak kastam dapat memikirkan langkah untuk mengenakan tindakan tegas kepada pembeli rokok seludup sebagai langkah mengatasi penjualan rokok ini,” katanya.

Turut hadir ialah Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok dan Timbalan Pengarah JKDM Sabah, Hamzah Sundang.

No comments:

Post a Comment