Saturday, April 20, 2013

PELUANG PAS CERAH DI BATU SAPI






PENAMAAN calon untuk kawasan P.185 Batu Sapi telah dijalankan di Auditorium Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Batu 6 Sandakan. Proses yang berlangsung seawal 8.00 pagi telah berakhir pada pukul 12.00 tengahari.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menerima borang penamaan calon dari parti yang bertanding dan memutuskan bahawa terdapat 3 calon yang akan bertanding di Parlimen Batu Sapi iaitu calon daripada Barisan Nasional, yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen tersebut sebelum ini, Datin Linda Tsen, Haji Hamzah Abdullah daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan daripada State Reform Party (STAR) iaitu Saiful Bahari Rashada Bin Ahmad.

Wakil Barisan Nasional yang bertanding di DUN Sekong ialah Datuk Samsuddin Yahya, yang juga merupakan penyandang kerusi itu sebelum ini. Beliau dicabar oleh Musah Ghani daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Awang @ Abdul Nasib bin Othman dari Sabah Progresive Party (SAPP). Charles Pang pula merupakan calon BN Dun Karamunting dan akan bertemu dengan calon dari Democratic Action Party (DAP) iaitu Chong Ket Kiun  dan Yong Vui Min dari Progressive Party (SAPP).

Seluruh penyokong Pakatan Rakyat (PR) berkumpul seawal 7 pagi di hadapan Hotel Tyng dengan membawa bendera parti masing-masing. Seluruh penyokong PAS yang hadir awal di tempat penamaan calon berpakaian hijau.

Calon PAS, Haji Hamzah Abdullah yang tiba di tempat penamaan calon pada pukul 8.15 pagi sangat terharu dengan sokongan dan kehadiran seluruh penyokong Pakatan Rakyat.

"Saya amat mengharapkan agar kita menang kali ini," katanya ringkas kepada penyokong yang hadir.

Proses penamaan calon kali ini meriah dengan kehadiran dan sorakan dari penyokong setiap parti yang bertanding. Bendera gergasi PAS juga berkibar megah di perkarangan tempat penamaan calon. Penyokong Pakatan Rakyat juga melaungkan slogan ‘Ini Kali La’.

Proses penamaan calon diakhiri dengan konvoi beramai-ramai diadakan bersama seluruh penyokong Pakatan Rakyat ke sekitar Palimen Batu Sapi.

No comments:

Post a Comment