Sunday 28 April 2013

PENGANUT KRISTIAN KAGUM TRANSFORMASI BN






KUAT....V.K LIEW menyatakan BN semakin mendapat tempat di hati para penganut Kristian dan Cina.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

SANDAKAN: Parti pembangkang DAP, PAS dan PKR tidak mudah menumbangkan calon-calon BN yang bertanding pada PRU 13 ini kerana jentera Barisan Nasional (BN) semakin mendapat sokongan yang kuat terutama daripada penganut agama Kristian apabila Manifesto 'Aku Janji' menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 turut menitikberatkan kepentingan dan hal-ehwal agama lain.

Penyandang kerusi Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong, berkata ia membuktikan kerajaan BN dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ikhlas dalam soal keagamaan sekali pun Islam adalah merupakan agama rasmi di negara ini.

Beliau berkata, perkembangan yang baik itu sudah pasti dialu-alukan semua kaum memandangkan perlu juga adanya pendekatan sedemikian bagi menjaga kebebasan beragama yang diamalkan rakyat negara ini.

"Saya difahamkan bahawa sebuah badan yang dibentuk di bawah satu kementerian akan menjaga hal-ehwal agama-agama lain. Ini satu perkembangan yang baik dan menunjukkan prihatinnya BN dalam soal keagamaan," katanya.

Liew berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Kristian Sandakan di Kelab Indah Jaya, Batu 4, Jalan Utara, di sini, baru-baru ini.

Serentak itu, beliau menyuarakan keyakinannya kemenangan akan memihak kepada BN berdasarkan penerimaan penganut agama Kristian terhadap BN semakin bertambah.

Ini katanya, bukan sahaja kejayaan parti itu dalam memperkenalkan program 'Transformasi Kerajaan' yang telah berjaya menambat hati semua pihak tetapi juga keikhlasannya dalam menjaga kepentingan agama lain.

Dia optimis rakyat akan mengundi calon-calon BN menjelang PRU-13 pada 5 Mei depan berdasarkan tinjauannya apabila semakin hari penerimaan rakyat terutama daripada penganut Kristian di Sandakan semakin meningkat.

"Saya melihat reaksi penganut agama Kristian semakin positif bila mana saya turun ke bawah untuk berkempen ditambah lagi keprihatinan kerajaan BN menerusi manifesto yang diperkenalkannya dapat menambah keyakinan mereka untuk mengundi BN nanti.

"Harapan saya agar sokongan kepada BN hendaklah dikekalkan kerana ia adalah sebuah parti yang terbaik sentiasa mementingkan kesejahteraan semua," ujar calon kerusi Parlimen Sandakan ini.

Hadir sama pada perjumpaan itu ialah calon BN kerusi Tanjung Papat, Datuk Liew Vui Keong; calon BN kerusi Elopura, Au Kam Wah; calon BN kerusi Karamunting, Charles Pang Su Pin dan mantan penyandang DUN Karamunting, Datuk Peter Pang En Yin serta pemimpin-pemimpin masyarakat Kristian di bandar ini.

No comments:

Post a Comment