Tuesday 16 April 2013

RCI PATI SABAH DITERUSKAN PADA 20 MEI





          
SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah, akan meneruskan sesi pendengaran di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bulan depan.

Sesi pendengaran 10 hari itu akan bermula pada 20 Mei. Pada awalnya sesi siasatan dijadualkan antara 5 dan 9 Mac, namun ditangguhkan.

Pengerusi suruhanjaya Tan Sri Steve Shim Lip menetapkan tarikh itu hari ini selepas membuat keputusan terhadap permohonan Persatuan Undang-undang Sabah (SLA) untuk mendapat akses rekod kenyataan saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Shim ialah bekas hakim besar Sabah dan Sarawak.

Anggota panel terdiri daripada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon; bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J.Luping.

Sesi pertama pendengaran berjalan selama lima hari mulai 14 Januari. Setakat ini, 62 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 13 Mac, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melanjutkan pendengaran RCI selama enam bulan lagi mulai 21 Mac hingga 20 September tahun ini bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat menyelesaikan siasatan dan mengumpul laporan mengikut seksyen 5 Akta Siasatan Suruhanjaya 1950 (Akta 119).

Suruhanjaya itu pada mulanya diberikan tempoh enam bulan untuk menyelesaikan siasatan dan membentangkan laporan dan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong, mulai tarikh pelantikan panel pada 21 Sept. Tempoh itu berakhir pada 20 Mac.

Lapan terma rujukan ditetapkan, termasuk menyiasat jumlah pendatang di Sabah yang diberikan kad pengenalan biru (IC) atau kerakyatan, dan sama ada ia mematuhi undang-undang. (Bernama)

1 comment:

  1. Semoga keputusan mnyebelahi keamanan utk rakyat sabah..khususnya penduduk sebenar sabah...

    ReplyDelete