Sunday 28 April 2013

SEKOLAH UGAMA ISLAM LIKAS RM10 JUTA







SAMPAIKAN....JUMAT (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Mulkasih (kanan) selepas merasmikan Majlis Jasamu Dikenang, anjuran PIBG SK Likas Kota Kinabalu, Sabah, di Padang SK Likas, Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Oleh : ZAKARIA DAMIT

KOTA KINABALU: Seluas tiga ekar tanah diperuntukkan bagi pembinaan sebuah bangunan baharu `Sekolah Ugama Islam Likas` membabitkan kos lebih RM 10 juta.

Calon Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris berkata, pembinaan sekolah ugama itu nanti bakal menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak berpuluh tahun lama di kawasan Parlimen Sepanggar.

Katanya, lokasi sekolah ugama sedia ada terletak berhampiran Masjid Jamek Likas tidak dapat menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat sekali gus bangunan sedia ada tidak selesa bagi kegunaan dalam tempoh jangka masa panjang.

”Ini sudah tentu sebagai khabar paling gembira kepada pengundi kerana sekolah ugama baharu ini begitu amat dinanti-nantikan oleh penduduk Likas serta kawasan berhampiran selepas sekian lamanya diperjuangkan Umno Bahagian Sepanggar melalui Barisan Nasional (BN).

“Ini menunjukkan rakyat perlu meneruskan keyakinan kepada BN selepas pucuk pimpinan kerajaan negeri serta pusat sentiasa memberi keutamaan terhadap perkara yang mendatangkan manfaat kepada seluruh Parlimen Sepanggar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jasamu Dikenang, anjuran PIBG SK Likas Kota Kinabalu, Sabah, di Padang Sekolah Kebangsaan Likas, Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Hadir sama dalam majlis itu, Calon Karambunai, Datuk Jainab Ahmad Ayid; Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Likas, Laliman Ahmad, Guru Besar SK Likas, Salleh Sulaiman dan Naib Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Zaiton Kassim.

Datuk Jumat yang juga Ketua Umno Bahagian Sepanggar ketika menyentuh mengenai pembangunan di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Likas beliau berkata, kerajaan juga sudah menaiktaraf sebuah bangunan tadika kayu kepada konkrik bernilai lebih RM750 ribu ringgit awal tahun lalu.

”Bangunan itu sudah tentu dapat memberi keselesaan kepada ibu bapa dalam memastikan anak-anak kecil mereka mendapat pembelajaran di peringkat awal usia.

“Mereka tidak lagi perlu bersusah payah menghantar anak-anak mereka di kawasan lain sekali gus mengurangkan perbelanjaan seharian mereka," katanya.

Beliau berkata, Umno Bahagian Sepanggar kini sedang merancang untuk membina sebuah pusat pentadbiran Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), untuk meningkatkan mutu pentadbiran mereka di Parlimen Sepanggar.
”Oleh itu semua penduduk serta pengundi perlu yakin hanya parti Barisan Nasional (BN) terbukti membangun lebih banyak pembangunan berbanding pembangkang hanya gemar menabur janji namun gagal dalam mencapai apa yang diperkatakan mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment