Thursday 25 April 2013

SEPAK SAUDARA KERANA POLITIK







Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Taksub dengan parti politik yang disokong ketika musim kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini, seorang lelaki tempatan sanggup bertindak menyepak saudaranya sendiri dalam satu kejadian berhampiran Lorong Hj Muhammad Nor, di Pekan Kunak.

Dalam kejadian jam 9.15 malam Selasa lepas itu, dikatakan suspek berusia 40an telah mendatangi mangsa seorang lelaki tempatan, 38, yang sedang sibuk memasang bendera sebuah parti di laluan titian jalan kaki berhampiran lokasi terbabit.

Jurucakap bagi PRU-13 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Supt Mohd Azhar Hamin berkata tidak berapa lama kemudian berlaku pertengkaran di antara kedua-dua mereka yang dipercayai disebabkan ketidaksefahamaan politik sehingga suspek bertindak menendang pinggang mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah melaporkan kejadian itu kepada polis. Kes terbabit kini masih disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu, meminta kepada semua pihak agar tidak terlalu taksub dengan parti politik yang disokong bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku sepanjang tempoh berkempen PRU-13 ini.

“Sila kawal emosi anda dan polis memberi amaran agar orang ramai tidak melakukan sebarang perkara yang melanggar batasan undang-undang sempena tempoh kempen pilihan raya ini atau berhadapan dengan tindakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata setakat ini polis hanya menerima 11 laporan sejak tarikh pembubaran diumumkan 3 April lepas dan kesemua kes membabitkan kejadian-kejadian seperti ugutan, hilang/bakar bendera serta ceramah tanpa permit.

“Keadaan di Sabah amat terkawal sekali dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Setakat kelmarin, kita merekodkan sebanyak 423 aktiviti telah dilakukan membabitkan kempen PRU-13 termasuklah aktiviti-aktiviti seperti ceramah, perjumpaan, mesyuarat dan kempen rumah ke rumah,” katanya sambil mengingatkan semua pihak terbabit agar memohon permit terlebih dahulu sekiranya ingin berkempen untuk mengelak berhadapan tindakan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata IPK Sabah akan menempatkan Dewan Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebagai lokasi undi pos awal yang dibuka khusus bagi warga polis pada jam 2 hingga 5 petang hari ini. (UB)

No comments:

Post a Comment