Thursday 25 April 2013

TTPM ARAH AIR ASIA BAYAR RM1,431






KOTA KINABALU : Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada selasa mengarahkan Air Asia membayar sejumlah RM1,431 kepada seorang penumpang.

Presiden TTPM, Datuk Dr Lawrence SH Thien membuat keputusan itu setelah mendengar rayuan yang dibuat oleh pihak yang menuntut, Mohd Nasir Palile (gambar atas).

Menurut Mohd Nasir, pada 30 September 2012 beliau telah membeli tiket secara atas talian daripada Air Asia bagi penerbangan pada 25 Oktober 2012 Kota Kinabalu ke Tawau dan penerbangan daripada Tawau ke Kota Kinabalu pada 27 Oktober 2012 bersempena cuti Hari Raya dengan harga RM1,356.

"Tetapi penerbangan ke Tawau pada 25 Oktober 2012 jam 8.30 malam itu dibatalkan disebabkan kegagalan lampu berfungsi dan ini menyebabkan tiket yang saya beli itu tidak dapat ditukar tarikh.

"Pihak syarikat penerbangan itu seterusnya telah mengeluarkan surat 'Refund Authority' yang bertarikh 26 Oktober 2012 yang mengesahkan bahawa jumlah RM1,356 itu akan dikreditkan semula ke dalam akaun saya sebulan daripada tarikh aduan itu," katanya.

Katanya, lebih mendukacitakan penyata akaun beliau menunjukkan sehingga kini jumlah berkenaan masih belum dimasukkan. Akibatnya beliau terpaksa menanggung beban dan kehilang banyak faedah sedangkan perkhidmatan sebenar tidak dinikmati.

Selain itu, pada 25 oktober 2012, ketika berada di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Mohd Nasir bersama keluarga terpaksa menunggu sehingga jam 2.20 pagi sebelum dimaklumkan bahawa tiket tidak dapat dibuka kerana tempat duduk telah penuh dan penginapan tidak disediakan.

"Atas sebab itu, kami terpaksa mengambil teksi ke Taman Putera Jaya, Telipok dengan kadar caj sebanyak RM75 setelah berbincang dengan pemandu teksi," katanya atas sebab itu beliau memfailkan tuntutan bagi menuntut duit tiket dan tambang teksi.

Dengan itu, Lawrence memerintahkan syarikat berkenaan menjelaskan bayaran dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

No comments:

Post a Comment