Monday 6 May 2013

AKHIRNYA PATI MENANG DI MAHKAMAH KANGAROO!




LAPOR......Nina bersama adiknya selepas membuat laporan rasmi di pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Oleh : MUTALIB M.D





HASRAT Perdana Menteri menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang mendapat IC Projek melalui Operasi Durian Buruk belum kesampaian kerana Jabatan Tanah dan Ukur Sabah hanya mempunyai 'Mahkamah Kangaroo' yang keputusannya boleh dibeli dengan wang!

Dalam kes terbaru pertikian tanah, No. 16 Tahun 2013, Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Lee Chun Khiong, telah memberikan tanah seluas 15 ekar kepada seorang PATI IC Projek, Wahab Bin Nonong setelah penuntut, Ninah Binti Gaya gagal mengemukakan Sijil Anak Negeri dan menolak pengesahan Anak Negeri yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Berikut keputusan penuh yang dibuat Lee Chun Khiong pada 18 April 2013 yang dikirim kepada penuntut melalui surat DLS (Rayuan) L.E.No.16/2013/(12)/NA bertarikh 23 April 2013;

"Dengan kehadiran kedua-dua pihak di hadapan saya pada 18 April 2013 dan setelah mendengar penghujahan lisan masing-masing, saya dengan ini memutuskan bahawa tuntutan tanah mengikut Adat Anak Negeri oleh penuntut tidak dapat diterima kerana penuntut bukanlah seorang Anak Negeri Sabah dan tidak memiliki Sijil Anak Negeri. Oleh itu pendaftaran CL 115403640 haruslah diteruskan."

Ninah yang menghubungi Sabahkini.net sebentar tadi memaklumkan bahawa beliau baru sahaja menerima surat berkenaan pada 3 Mei lalu dan akan memfailkan Semakan Kehakiman (Judicial Review) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam minggu ini.

Menurut Ninah, beliau agak terkilan dan terkejut dengan penghakiman berat sebelah yang dibuat oleh Lee Chun Khiong setelah kes berkenaan dibicarakan oleh PPHT Lahad Datu; tetapi ditolak oleh Lee Chun Khiong setelah mendapati keputusan PPHT Lahad Datu agar tanah berkenaan dibahagi dua antara beliau dengan Wahab dan keputusan dibuat ketika PPHT Lahad Datu sedang bercuti.




HINA.....Lee seolah-olah menghina pengesahan yang dikeluarkan oleh Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah yang mengesahkan Ninah.

"Lee memaksa saya mengemukakan Sijil Anak Negeri sedangkan beliau tahu bahawa pengeluaran Sijil Anak Negeri telah dibekukan sejak 1984 dan menolak Surat Pengesahan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri. Tetapi dia tidak pernah meminta Wahab mengemukakan Sijil Lahir untuk membolehkan beliau memohon tanah Sabah," kata Ninah yang mendesak agar Panel RCI memanggil Wahab sebagai saksi penting apabila sidang RCI disambung semula.

Ninah menjelaskan bahawa penghakiman yang dibuat oleh Lee telah melangggar hak asasinya dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Ordinan Tanah Sabah; apatah lagi diberikan kepada PATI.

"Semua penduduk Silam tahu siapa Wahab, di mana beliau dilahirkan dan bila beliau mendapat Mykad Projek dan turut memiliki beberapa kad pengenalan palsu," kata Ninah yang menjelaskan bahawa Wabah tidak layak mendapat walau seinci pun tanah di Sabah, apatah lagi tanah adat yang diwarisi daripada arwah bapanya.

Kata Ninah, Wahab juga menggunakan beberapa nama antaranya Nonong Bin Ujil, Nonong Bin Upau dan Nonong Bin Edar untuk beberapa urusan rasmi, termasuk menunaikan haji di Mekah.

Nina turut memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Sabah di Mini Putrajaya kerana meyakini penghakiman yang dibuat Lee adalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana mempunyai kepentingan peribadi.

"Jika Lee tidak mempunyai kepentingan peribadi, kenapa memindahkan kes ini daripada PPHT Lahad Datu ke Kota Kinabalu sedangkan isu tanah adat adalah kuasa PPHT dan bukannya kuasa Timbalan Pengarah," kata Ninah yang menyatakan sepatutnya Wahab harus membuktikan beliau rakyat Sabah dengan menunjukkan bukti beliau lahir di Sabah kerana pada 1989 Wahab masih memegang Pasport Filipina.

No comments:

Post a Comment