Sunday 12 May 2013

ARAMAITI, RAKYAT SABAH KAKI MABUK?






KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan pengambilan alkohol ketiga tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 18.4 peratus selepas Kuala Lumpur (20.3 peratus) dan Sarawak (19.7 peratus).

Menurut Ketua Penolong Pengarah Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Nirmal Kaur, statistik itu berdasarkan kajian pada Ogos 2011 hingga Julai 2012 oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS). 

Beliau berkata kajian mendapati bahan alkohol sering ditemui dalam kebanyakan makanan dan minuman tradisi masyarakat di negeri ini dan menjadi kegemaran kira-kira 95 peratus daripada masyarakat Sabah berumur 20 hingga 60 tahun.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sukatan pengambilan alkohol yang sepatutnya bagi mengelak penyakit tidak berjangkit tidak lebih daripada dua gelas minuman.

“Segelas minuman alkohol menyamai satu tin bir, 70ml 'montoku' (sejenis minuman tradisi masyarakat Kadazandusun), 100ml tapai atau 40ml whisky atau brandi,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Kumpulan Tindakan Mengatasi Masalah Penggunaan Alkohol dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di sini hari ini.

Dr Nirmal berkata pengambilan alkohol secara berlebihan membawa risiko penyakit tidak berjangkit tetapi memudaratkan kesihatan dalam tempoh panjang seperti serangan sakit jantung, kencing manis, strok, kanser dan kerosakan hati. — Bernama

No comments:

Post a Comment