Saturday 11 May 2013

BUDAYA SESUMPAH SEMAKIN MENEBAL






Oleh: SHAIMON S JUMADI

RAMAI di kalangan penduduk Sabah terutama sekali suku Kadazan, Dusun dan Murut memberikan sokongan padu terhadap parti pembangkang, khususnya Parti Gabungan Pakatan Rakyat dengan semangat berkobar-kobar.

Dengan nada tinggi dan temberang mereka melaungkan, "Ini Kalilah"  "Tukar", "Ubah", "kita tukar kerajaan" dan pelbagai slogan lagi di mana-mana sahaja; termasuklah di tandas awam diconteng slogan keramat itu bagi maksud merampas Putrajaya, sekaligus menumbangkan Kerajaan Negeri Sabah dengan majoriti yang besar.
]
Isu pertama yang dimainkan oleh KDM ialah isu tanah NCR dan RCI dalam kempen-kempen ceramah mereka yang tiada lain menyebut pasal tanah, tanah dan tanah termasuk mengutuk Geran Komunal.

Sabahkini.Net telah menghantar pasukan perisik kebeberapa daerah, majoritinya KDM dan merakam pendapat beberapa orang ahli politik atas pagar menyatakan PRU 13 ini memang sengit dan mereka menjangkakan Pakatan Rakyat pastinya menang besar kerana  mengikut analisis; bukan sahaja masyarakat Cina dan golongan belia mahukan kerajaan baru, bahkan 80 peratus masyarakat KDM turut menyokong PKR, PAS dan DAP.

Apapun kita kagum dengan semangat kaum Cina, walaupun mereka menyokong pembangkang, mereka senyap sama sekali. Gerak geri dan tingkah laku mereka tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan masyarakat KDM.

Bagi masyarakat Cina, apa-apa sahaja bantuan yang disalurkan oleh kerajaan mereka ambil kerana mereka anggap seperti BR1M RM500 adalah duit rakyat, soal undi kira belakang.

Tetapi bagi kaum KDM, memang kawasan yang ditandingi oleh PKR menentang calon BN merupakan kawasan panas kerana majoriti KDM berpihak kepada PKR.

Kita sedar, Pakatan Rakyat, terutama PKR, tidak mempunyai banyak wang untuk diberikan kepada rakyat sebagai usaha untuk meraih undi yang sudah lumrah dalam setiap pilihanraya; maka slogan mereka bertukar 360 darjah menjadi "Lain Kalilah."

Sebahagian besar kaum KDM yang pada mulanya 'Anti-BN' dan condong kepada PKR, tetapi setelah menerima saguhati antara RM100 sehingga RM200; serta-merta bertukar menjadi penyokong BN sehingga ramai di kalangan calon pembangkang tewas dan hilang deposit.

Di sinilah kita nampak jelas bahawa daya pemikiran majoriti penduduk asal Sabah, masih di tahap paling rendah berbanding dengan orang Semenanjung Malaysia.

Bagi suku KDM yang memberi mandat tulen kepada BN kerana mereka mahukan pembangunan di kawasan mereka diteruskan oleh kerajaan BN, tahu hanya BN sahaja yang mampu membela nasib rakyat jelata; bukan sahaja di luar bandar, bahkan di seluruh pelusuk pedalaman.

Ramai juga yang meramalkan Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dan Datuk Seri Lajim Hj Ukin akan memperoleh kemenangan dalam pertandingan sengit di kerusi Parlimen Tuaran dan Beaufort; tetapi mereka tetap tewas di tangan BN kerana sebahagian besar suku KDM telah menerima habuan yang lumayan sehingga lupa sudah siapa itu PPPS dan APS; malah tidak kenal siapa Bumburing atau Lajim?

KDM yang dahulunya bersatu, kini mudah dipecah dan diperintah kerana budaya sesumpah (Chameleon) sudah menular dalam aspirasi politik dan menjadikan masa hadapan mereka terumbang ambing; terus menjadi buih di lautan politik yang akhirnya terdampar di pantai kehampaan.

No comments:

Post a Comment