Friday 24 May 2013

GURU CIPTA PEN ANDROID PERTAMA DI DUNIA






KOTA KINABALU : Mengajar di sebuah sekolah di pedalaman negeri ini tidak menyekat kreativiti seorang guru yang berjaya mencipta pen untuk menyelesaikan masalah berkaitan elektromagnet dalam subjek Fizik.

Androd Sadian, guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu, berkata dengan pen ciptaannya yang dikenali Pen Android atau Pen A, pelajar tidak perlu lagi menggunakan jari tangan untuk menentukan arah yang tepat seperti kaedah pembelajaran sekarang.

"Sekurang-kurangnya Pen A ini menjamin pelajar memperoleh dua atau tiga markah dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Solidariti dan Apresiasi Pendidik sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri, di sini, malam tadi.

Menurut Androd, pen itu juga boleh digunakan sebagai alat tulis biasa.

Pen ini sudah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran dan akan dipasarkan di Sabah bermula bulan depan pada harga RM7.50 seunit, sebelum diedar ke seluruh negara secara berperingkat, katanya yang percaya Pen A adalah yang pertama seumpamanya di dunia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun yang juga EXCO Pelajaran Sabah, berkata kejayaan Androd adalah bukti kegigihan guru di kawasan pedalaman dalam mencari kreativiti bagi menangani kekangan bertugas di kawasan terpencil.

"...mereka berupaya mencari kaedah kreatif dalam meningkatkan semangat mereka untuk terus bersaing dalam pembangunan pendidikan," katanya.

Terdahulu, Masidi dalam ucapannya berkata tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda' amat bersesuaian dalam menempuh era globalisasi yang berteraskan enam aspirasi murid iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.




Pada majlis itu, Masidi turut melancarkan pen itu serta sebuah buku bertajuk Sejarah Perkembangan Pendidikan Di Sabah (1881-1981) yang ditulis oleh pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Dayu Sansalu.

Menurut Dayu, buku setebal 300 halaman itu menerangkan sejarah pendidikan di Sabah sejak 1,000 tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment