Tuesday 21 May 2013

INSIDEN TANDUO GAGAL PATAHKAN SEMANGAT GURU






SAMBUT....Jame disambut oleh sebahagian warga pendidik yang hadir.

 Oleh: JACOB BALANG

KENINGAU: Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPN), memberi pengiktirafan tinggi terhadap kecekalan guru yang kembali bertugas di sekolah yang terbabit dengan insiden pencerobohan Lahad Datu baru-baru ini.

Pengarahnya, Jame Alip berkata walaupun rata-rata guru terbabit masih trauma dengan kejadian itu, namun kerana semangat cekal dan kasihsayang terhadap pelajar, mereka kembali bertugas seperti biasa.

"Kita sanjung tinggi pengorbanan setiap guru yang sanggup berhadapan dengan apa keadaan sekalipun; sanggup berkorban jiwa dan raga demi tugas sebagai guru kerana mereka sayangkan pelajar dan kerjaya," katanya ketika berucap di Program Jerayawara Pengarah Pelajaran, Zon Pedalaman Atas di Dewan Yuk Kong dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Hajah Maimunah Suhaibul, Pegawai Pelajaran (PPD) Keningau Masly Wahip; PPD Tambunan Kaipin Rosmin; PPD Tenom Azmal Jumah, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Raisin Saidin.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira lebih 500 guru, antara lainnya terdiri daripada pentadbir sekolah dan penolong kanan sekitar daerah Tambunan, Tenom, Keningau dan Nabawan.

Pada majlis itu, Jame melancarkan tabung dana kewangan untuk membantu warga pendidik yang kehilangan harta benda, apabila rumah yang didiami musnah dalam insiden pencerobohan Lahad Datu beberapa bulan lalu.

Katanya, guru terbabit telah diberi khidmat kaunseling untuk menguatkan lagi semangat bertugas dengan hati yang cekal demi mendidik anak bangsa.

"Kita percaya warga pendidik yang terlibat di kawasan insiden, tentu sekali trauma, namun kita akan bantu supaya semangat guru itu tidak pudar malah sanggup bergadai nyawa demi anak bangsa, kita sanjung guru-guru yang melindungi anak didik ketika insiden berlaku, " katanya.

Dalam insiden itu, katanya segelintir guru pada mulanya enggan kembali bertugas kerana trauma dengan kejadian, bagaimana pun, selepas diberi kaunseling dan keyakinan akhirnya guru-guru terbabit kembali bertugas semula.

Pada masa yang sama, Jame menggesa warga pendidik di negeri ini, agar mempunyai tranformasi minda untuk memastikan modal insan yang bakal mewarisi kepimpinan negara, terdiri daripada mereka yang serba boleh dan jati diri yang tinggi.

Tambahnya, tranformasi merangkumi perubahan sikap dan didikasi sebagai seorang guru yang disayangi pelajar dan masyarakat.

Katanya, sikap sering menghukum pelajar tanpa menyelami hati sanubari pelajar, menyebabkan tindakan tidak berkesan, malah gagal membantu pelajar menjadi insan cemerlang.

"Sebagai guru, kita perlu tahu latar belakang pelajar kita, supaya setiap kelemahan pelajar dapat dibantu dengan tindakan yang tepat, berbanding menghukum termasuk dendaan, tetapi sebaliknya tidak boleh membantu pelajar, malah menjadikan pelajar mudah putus asa, " katanya.

Katanya lagi, sikap guru yang sayang kepada murid akan melahirkan murid yang sentiasa ceria dan minat untuk belajar terus dipupuk melalui situasi pengajaran dan pembelajaran yang harmonis.

"Kadang kala, guru lebih suka menghukum pelajar, tanpa menyelami hati, latar belakangnya, mengapa pelajar itu telah membuat kesalahan atau kerap tidak hadir, tentu ada puncanya, maka sebagai guru penyayang wajar mengambil peranan seperti ibubapa," katanya



Dalam pada itu, Jame menggesa guru agar mengamalkan budaya kerja yang cepat, tepat serta berintegriti di mana guru perlu mempunyai amalan kerja yang produktif, Keratif dan Inovatif.

“Kerjaya yang baik dapat memastikan profesion perguruan sentiasa dipandang mulia serta dihormati setiap anggota masyarakat,” tegasnya.
.

5 comments:

  1. di Lahad Datu ada lebih 100 buah sekolah terutamanya di kawasan luar bandar seperti Felda.. walaupun keadaan sudah kembali tenang, namun semua sekolah2 ini perlu juga dikawal oleh anggota polis atau tentera..

    ReplyDelete
  2. Insiden pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.

    ReplyDelete
  3. Beliau berkata tragedi itu sudah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara, yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, tetapi juga akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara."Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan," katanya.

    ReplyDelete
  4. Insiden keganasan itu memberi pengajaran kepada semua tentang pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan.

    "Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada. Sebagai seorang bekas anggota keselamatan, saya merasa dukacita terhadap penghinaan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan kita.

    ReplyDelete
  5. tanggungajwab guru tetap dilaksanakan

    ReplyDelete