Wednesday 1 May 2013

JANGAN DERA RAKYAT MELALAP?






CERAMAH.... Roger Stimin berceramah di Kg Manining kira-kira 15 km dari pekan Tenom.

Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Calon Parti Maju Sabah (SAPP) DUN Melalap, Roger Stimin kesal kerana rakyat kawasan Melalap diulit perasaan dilema dan kecewa terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana dipinggirkan sejak empat penggal lalu.

Beliau berkata, jika sekadar pembangunan yang diterima di bawah ratusan ribu ringgit, bukanlah suatu perkara yang perlu dibanggakan sangat kerana apa yang lebih utama ialah menggerak dan meningkatkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar.

“Usaha ini sebagai salah satu proses permulaan untuk mengukuhkan 'kuasa membeli' (Purchasing power) rakyat supaya masyarakat luar bandar mempunyai kewangan peruncitan harian yang lebih kukuh dan mampu berbelanja lebih di pasar tani mahupun di kedai runcit.

“Jika formula ini gagal digerakkan, akan menyebabkan ekonomi setempat tidak dapat berkembang maju dan sudah pastilah para peniaga dan penjaja bumiputra tidak dapat bertahan lama.

“Sebab itu, kebanyakan usahawan tani kita tiada pilihan selepas gagal bertahan. Mereka terpaksa gulung tikar kerana kehadiran harian pelanggan jumlahnya terlalu minima,“ kata beliau ketika berceramah di Kg Manining baru-baru ini.

Roger berkata, jika beliau diberi mandat rakyat pada pilihanraya umum kali ini, usaha meningkatkan sosio ekonomi di kawasan luar bandar menjadi agendanya; termasuklah merancang untuk menaiktaraf aktiviti tamu mingguan di pekan kecil Melalap.

“Sebenarnya, kawasan rizab tanah Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) iaitu bekas stesen keretapi di sini boleh digunakan untuk mendirikan pasar mini dan beberapa lot kedai sebelum pihak syarikat perladangan Sime Darby selesai perundingan untuk melepaskan tanah miliknya bagi pembinaan pekan baru.

“Kita bukan berkata kepada pemimpin BN ibarat mengajar itik berenang, tetapi mereka sudah lebih dari tahu apa yang harus dilakukan; tetapi mereka sengaja melengah-lengahkannya menyebabkan rakyat tidak puas hati janji mereka,” tegasnya lagi.

Kelembapan tindakan mereka menyebabkan kawasan Dun Melalap telah tertinggal jauh dari segi pembangunan termasuk lonjakan eknomi jika dibandingkan dengan daerah lain di negeri ini.

Dalam pada itu, Roger turut menyarankan penduduk kampung agar tidak merasa takut dengan beberapa ugutan oleh juru kempen BN yang kononnya kerajaan BN akan menarik balik pelbagai bantuan kerajaan kepada penerimanya jika didapati menyokong pembangkang pada PRU13; menunjukkan mereka sudah lemah dan ketandusan sokongan rakyat.

"Jika ada sesiapa menerima ugutan ini yang kemudiannya datang menarik balik bantuan yang telah diberi kepada rakyat yang berhak menerimanya; beritahu atau beri lapor kepada saya, kita akan saman mereka," tegas Roger lagi.

No comments:

Post a Comment