Thursday 9 May 2013

JANGAN LOBI JAWATAN KABINET SABAH






SANDAKAN : Ketua Umno bahagian Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya menyeru rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) khususnya daripada Umno supaya tidak melobi untuk mendapatkan jawatan dalam Kabinet Sabah.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau berkata segala keputusan berkaitan calon yang sesuai sebaiknya diputuskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kerana beliau lebih arif siapa yang layak dan perlu diserapkan dalam Kabinet negeri.

Samsudin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sekong pada pilihan raya umum Ahad lepas berkata kemenangan besar BN dalam Parlimen Batu Sapi dan DUN Sekong membuktikan rakyat Sabah percaya dengan tampuk kepimpinan BN.

Beliau turut menyelar parti pembangkang yang saban waktu mereka-reka pelbagai cerita untuk memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan seperti cerita pengundi hantu kerana parti pembangkang juga memenangi banyak kerusi termasuk kemenangan besar di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Kalau tidak menerima keputusan pilihan raya jangan angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen atau Menteri Besar.

"Begitu juga kalau tidak percayakan SPR, jangan sertai pilihan raya. Malangnya, kalau mereka menang dikatakan itu pilihan rakyat tetapi bila kalah, salah SPR dan kerajaan BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat sedar mengenai pembohongan parti pembangkang ini yang seolah-olah tidak ada kesudahan untuk menanam kebencian kepada rakyat. (Bernama)

(NOTA : Musa dijangka akan mengumumkan Barisan Kabinet Negeri Sabah Esok)

No comments:

Post a Comment