Friday 10 May 2013

KABINET BAYANGAN UNTUK ADUN PEMBANGKANG






KOTA KINABALU : Adun Matunggong, Datuk Jelani Hamdan menyarankan supaya wakil rakyat pembangkang di Sabah menubuhkan satu Kabinet Bayangan untuk memantau pencapaian setiap Kementerian Negeri Sabah.

Beliau berkata jika saranan itu menjadi kenyataan, beliau akan bertanggungjawab untuk memantau pencapaian Ketua Menteri dan semua jabatan di bawah bidang kuasa Ketua Menteri.

"Kami akan meneliti setiap sen yang dibelanjakan oleh kementerian di samping memeriksa  perkembangan kementerian," katanya.

Beliau berkata, kali ini terdapat 12 wakil rakyat pembangkang dan bilangan itu cukup untuk membentuk kabinet bayangan.

Kabinet bayangan itu, katanya, tidak bertujuan mengambil alih pentadbiran Kabinet Negeri Sebenar.

"Ia bertujuan Menambah baik sistem pelaksanaan Kerajaan agar semua kementerian akan terus tekun dalam kerja mereka dan dengan itu lebih telus," katanya.

Ia, katanya, juga untuk membolehkan rakyat mendapat perkhidmatan lebih baik daripada kerajaan.

Kabinet bayangan, katanya, akan membuat laporan tentang pencapaian kementerian kira-kira tiga kali setahun.

Beliau berkata entiti 'Ombudsman' pembangkang itu lebih baik dan merupakan sekatan dan imbangan untuk memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya.

Bersama dengan kabinet bayangan itu, Jelani berkata, Wakil Rakyat pembangkang akan bertanggungjawab memantau wilayah tugasan mereka.

"Sebab saya dari bahagian utara Sabah, saya akan bertanggungjawab untuk kawasan dari N.1 hingga N.5 (Banggi, Tanjong Kapor, Pitas, Matunggong, Tandek)," katanya.

Beliau berkata di bawah tugas ini, mereka akan memastikan janji dan manifesto yang diumumkan oleh calon Barisan Nasional semasa kempen baru-baru ini dilaksanakan.

Jelani berkata, beliau juga memastikan bahawa projek pembangunan yang dijanjikan kepada rakyat dan kemudiannya dirasmikan oleh Ketua Menteri sebelum itu termasuk institut komuniti dan jalan dari Matunggong ke Kota Marudu, dipenuhi.

Jelani, yang mengalahkan penyandang Matunggong, Sarapin Magana (PBS), dengan majoriti 320 undi dalam pilihan raya baru-baru ini, berkata beliau akan menjalankan kajian dan analisis pemilikan tanah hak adat anak negeri (NCR).

"Kami juga akan mengkaji semula tanah yang terbabit dalam pembinaan Empangan Milau Fasa II, Hutan Simpanan Matunggong, Taman Marin Tun Mustapha dan 60,000 hektar yang diperolehi oleh Begaraya Sdn Bhd," katanya.

Beliau menjangka perhimpunan Dewan Undangan Negeri untuk lima tahun akan datang ini tentu menarik memandangkan kini terdapat 12 Adun pembangkang lawan 48 Adun BN.

Terdahulu, hanya terdapat tiga ahli pembangkang iaitu Jimmy Wong (DAP-Sri Tanjong), Melanie Chia (SAPP-Luyang), dan Datuk Liew Tee Chan (SAPP-Likas). (DE)


No comments:

Post a Comment