Thursday 23 May 2013

KAJIAN PERSEMPADANAN SEMULA DITERUSKAN






KUALA LUMPUR : Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya yang ditangguhkan sejak dua tahun lepas, akan dimulakan tidak lama lagi secara berperingkat-peringkat.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula boleh dilakukan setelah tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat.

"Persempadanan semula terakhir dilakukan adalah pada 2003 dan persempadanan semula sepatutnya dibuat pada 2011 tetapi kita tangguhkan hingga pilihan raya umum ke-13 selesai.

"Persempadanan perlu dilakukan kerana perlembagaan menetapkan setiap lapan tahun, sekurang-kurangnya, SPR perlu membuat kajian semula kawasan sempadan pilihan raya... justeru kita akan lakukan secara 'slow-slow' sebelum menyerahkannya kepada Parlimen untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama selepas diwawancara dalam program Hello Malaysia oleh Bernama TV, di sini, malam tadi.

Beliau berkata persempadanan semula itu amat penting kerana dalam tempoh 10 tahun ini negara mengalami banyak perubahan termasuk berlakunya penghijrahan rakyat dari bandar ke bandar.

"Sebagai contoh ketika kita buat persempadanan pilihan raya pada 2003, kawasan Kota Damansara tidak semaju seperti sekarang. Mutiara Damansara tiada dan malah kini banyak kawasan setinggan telah dirobohkan dan rumah pangsa dinaikkan, jadi sudah tentu pengundinya berubah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan gesaan pembangkang agar pengerusi SPR dan dirinya meletakkan jawatan, kononnya kerana pilihan raya kali ini tidak telus, adalah seperti tidak menghormati perlembagaan negara dan juga Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata SPR adalah sebuah badan bebas yang tidak mewakili mana-mana parti dan dilantik melalui perbincangan Majlis Raja-Raja sebelum diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, justeru tugas SPR tidak seharusnya diperlekeh.

"Mereka tidak menghormati perlembagaan dan Agong, sewenang-wenang menyuruh pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan... pembangkang nak lantik siapa? Nak lantik orang dia?... inilah fikiran orang sempit, fikiran selapis orang panggil.

"SPR tidak telus dari kaca mata mereka, kita telah lakukan yang terbaik tetapi tetap dituduh tidak telus... kalau tidak telus dan kalau SPR ini berpihak pada Barisan Nasional, takkanlah mereka menang 89 kerusi, menang begitu mudah di Selangor dan Pulau Pinang?," katanya.

Katanya beliau percaya mereka itu mempunyai agenda lain sama ada berbentuk peribadi atau mahu memporak-perandakan negara dengan menghasut rakyat dan generasi muda selain memupuk budaya kebencian. (Bernama)

23 comments:

  1. Dalam menjalankan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Prinsip yang berikut hendaklah seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117

    ReplyDelete
  2. i.Di samping mengambil perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;

    ReplyDelete
  3. ii.Perhatian patutlah diberikan kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;

    ReplyDelete
  4. iii

    Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya; dan

    ReplyDelete
  5. iv.Perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

    ReplyDelete
  6. PROSEDUR-PROSEDUR PERSEMPADANAN

    Laporan Kajian Semula Persempadanan dengan syor awal persempadanan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri. Pada masa yang sama, suatu notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar dan disiarkan dalam Warta, serta dipamerkan di semua bahagian-bahagian pilihan raya selama satu bulan untuk pemeriksaan dan rayuan orang ramai.

    ReplyDelete
  7. Proses persempadanan bermula dengan arahan oleh Ibu Pejabat SPR kepada Pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri mengumpul maklumat-maklumat seperti bilangan pemilih di bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri, kemudahan-kemudahan baru yang ada seperti bangunan dan sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai tempat pengundiaan pilihan raya dan kemudahan perhubungan dan pengangkutan. Arahan ini dikeluarkan setelah tamat tempoh lat 8 tahun dengan selesainya kajian semula persempadanan sebelum ini.

    ReplyDelete
  8. Suruhanjaya mesti mengadakan siasatan tempatan untuk mendengar rayuan yang diterima dalam tempoh pameran itu dari mana-mana Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang pemilih dan lebih, dari bahagian-bahagian pilihan raya yang terlibat dengan kajian tersebut.

    ReplyDelete
  9. Sebaik sahaja selesai siasatan berkenaan, sebarang perubahan kepada syor persempadanan mestilah dipamerkan semula kepada orang ramai untuk tempoh sebulan. Suruhanjaya tidak perlu mengadakan lebih daripada dua siasatan tempatan.

    Cadangan persempadanan yang akhir akan dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan. Bahagian-bahagian pilihan raya yang baru hanya terpakai apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubar.

    ReplyDelete
  10. Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu


    Siapakah yang dibenarkan untuk membuat representasi dalam urusan persempadanan bahagian pilihan raya? Mengikut Jadual 13 Perlembagaan Persekutuan, pihak yang layak membuat representasi (bantahan/cadangan balas) semasa urusan persempadanan ialah Kerajaan Negeri ii- Pihak Berkuasa Tempatan iii- Pemilih berdaftar di dalam kawasan yang terlibat

    Dalam keadaan mana siasatan tempatan perlu diadakan bagi bantahan urusan persempadanan? Mengikut Seksyen 7, Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan siasatan tempatan perlu diadakan apabila bantahan diterima daripada Kerajaan Negeri ii- Pihak Berkuasa Tempatan iii- Tidak kurang daripada 100 orang pemilih berdaftar dalam Bahagian Pilihan Raya berkenaan


    Kriteria yang digunakan semasa urusan persempadanan adalah kriteria yang ditetapkan ialah mengikut Seksyen 4 Bahagian 2 Jadual Ke13 Perlembagaan Persekutuan, iaitu: Jumlah pemilih hendaklah lebih kurang sama kecuali bagi kawasan-kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan

    ReplyDelete
  11. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memulakan
    kajian semula persempadanan pilihan raya di negara ini menjelang akhir
    tahun ini dan memberi jaminan kepada orang ramai akan ia akan dijalankan
    dengan penuh telus.

    ReplyDelete
  12. Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya akan
    memaparkan draf persempadanan semula kepada orang ramai untuk pengundi
    berdaftar, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk
    mengemukakan pandangan dan bantahan mereka sebelum menyerahkan laporan
    akhir kepada Dewan Rakyat untuk kelulusan.

    ReplyDelete

  13. Beliau berkata mana-mana cadangan persempadanan semula sempadan
    kawasan pilihan raya memerlukan kelulusan majoriti mudah di 222 kerusi
    Dewan Rakyat.

    Pembentukan mana-mana kawasan pilihan raya baru memerlukan sokongan dua pertiga.

    ReplyDelete
  14. Ditanya sama ada kawasan pilihan raya baru akan diwujudkan, beliau
    berkata: "Secara logiknya, perlu ada lebih banyak kerusi kerana terdapat
    begitu ramai pengundi baru sejak pilihan raya umum ke-12.

    ReplyDelete
  15. Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2)(ii) persempadanan
    semula kawasan pilihan raya boleh dibuat dalam tempoh tidak kurang
    daripada lapan tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya
    kajian sebelumnya.

    ReplyDelete

  16. Wan Ahmad berkata Perlembagaan Persekutuan memberi maksimum dua tahun bagi suruhanjaya itu untuk melengkapkan kajian.

    Persempadanan semula terakhir dilakukan adalah pada 2003 dan
    persempadanan semula sepatutnya dibuat pada 2011 tetapi SPR telah
    menangguhkannya sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai.

    ReplyDelete
  17. Menjawab dakwaan bahawa SPR akan cuba menggerimander kawasan pilihan
    raya agar ia memihak kepada Barisan Nasional, Wan Ahmad berkata: "Ramai
    orang yang tidak tahu bagaimana kajian dijalankan dan hanya percaya
    dengan beberapa parti politik yang menuduh kami tidak menjalankan tugas
    mengikut undang-undang."

    ReplyDelete
  18. Mengenai kenapa kawasan bandar kecil mempunyai lebih ramai pengundi
    daripada kerusi luar bandar yang besar, Wan Ahmad berkata ia adalah
    untuk memastikan bahawa semua pengundi di kawasan separa bandar dan luar
    bandar bandar mempunyai akses yang munasabah terhadap perkhidmatan oleh
    wakil-wakil rakyat mereka dan majlis-majlis tempatan

    ReplyDelete
  19. Sebagai contoh, Wan Ahmad berkata kawasan Parlimen Puchong mempunyai
    107,010 pengundi tetapi penduduk dapat menikmati akses yang baik kepada
    perkhidmatan dan wakil rakyat boleh bergerak di seluruh kawasan pilihan
    raya dalam tempoh beberapa jam dengan kenderaan.

    ReplyDelete
  20. Kawasan pilihan raya di Parlimen Silam di Sabah, dari sisi lain pula
    hanya mempunyai 51,662 pengundi tetapi kawasannya adalah jauh dan besar
    seperti Negeri Sembilan dan Melaka yang digabungkan, katanya.

    ReplyDelete
  21. Bagi memastikan kewajaran pengundi yang sama, kita perlu untuk
    memperluaskan sempadan Silam lebih jauh dan ini tidak adil kepada
    pengundi kerana ia akan membuatkan lebih sukar bagi mereka untuk
    mendapatkan perkhidmatan daripada wakil-wakil rakyat dan majlis
    tempatan," kata Wan Ahmad.

    ReplyDelete
  22. Mengenai kenapa Putrajaya hanya mempunyai 15,791 pengundi dan
    dianggap sebagai kawasan Parlimen tunggal manakala kawasan sekitarnya
    mempunyai lebih pengundi, Wan Ahmad berkata: "Ini adalah kerana kawasan
    Putrajaya telah ditubuhkan bukan oleh perangkaan sempadan semula tetapi
    oleh Akta Parlimen berikutan penubuhan pusat pentadbiran.

    ReplyDelete

  23. Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk menggabungkan Putrajaya dengan mana-mana kawasan Parlimen jiran."

    Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
    ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak akan menyokong perangkaan semula
    sempadan pilihan raya walaupun majoriti dua pertiga tidak diperlukan
    untuk menjalankannya (melainkan jika ia melibatkan penciptaan kawasan
    baru).

    ReplyDelete