Saturday 18 May 2013

"KAMU INGAT NEGARA INI BAPA KAMU YANG PUNYA?"





         
Oleh :  AHMAD FADLI KC

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa gesaan agar rakyat yang tidak gembira dengan sistem pilihan raya supaya berpindah keluar dari negara ini adalah satu kenyataan sombong yang menghina rakyat.

"Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat," kata Anwar dalam pidatonya di perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan malam tadi yang dibanjiri kira-kira 30,000 orang.

Beliau mengulas kenyataan itu yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam rencananya yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mei 2013.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini turut membidas tulisan itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin sebaliknya dilihat cuba meredakan reaksi orang ramai berhubung kenyataan itu.

Menurutnya, kenyataan Zahid itu mewakili pandangan peribadi Zahid dan bukan seluruh jemaah menteri.

Menegaskan gesaan tersebut sebagai 'bodoh', Anwar dalam pidatonya turut membidas rencana tulisan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan tentang undi popular yang disiarkan akhbar sama, sehari selepas tulisan Zahid Hamidi diterbitkan.

Menurut Anwar, tindakan Ahmad menggunakan perkataan 'liwat' dalam tulisannya untuk membincangkan undi popular, adalah lucah dan tidak menghormati kebijaksanaan rakyat.

"Seorang lagi menteri Umno kata (pembangkang) jangan 'meliwat' fikiran rakyat. (Ini) cara yg paling lucah untuk menghina fikiran rakyat," kata Anwar.

Ahmad Maslan dalam tulisannya mengingatkan pembangkang yang harus faham undang-undang negara ini dan tidak harus 'meliwat' pengetahuan dan akal sendiri apabila mendakwa layak memerintah berdasarkan peratusan undi popular yang diperoleh mereka.

Menurutnya, undang-undang Malaysia menetapkan pemenang pilihan raya adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, dan bukan jumlah undi popular. (MKINI)

No comments:

Post a Comment