Friday 3 May 2013

KEMBALIKAN GOMANTONG KEPADA PEMILIK ASAL







PERHIMPUNAN....Para pewaris Gua Gomantong mengadakan demonstrasi Aman di Pejabat Daerah Kinabatangan

Oleh: SHAIMON S JUMADI                   Foto : REZAL PAWANA


KINABATANGAN : Satu perhimpunan secara aman telah dibuat di kawasan Dataran Kinabatangan oleh penduduk yang tinggal di sekitar kawasan daerah tersebut yang kebanyakannya adalah penyokong tegar Barisan Nasional.

Perhimpunan secara aman ini telah dianjurkan oleh Gabungan Pewaris Gua Gomantong. Perhimpunan ini dibuat kerana ingin menuntut hak Orang Sungai daripada suku Bulud Upih yang sememangnya adalah pewaris Gua Gomantong daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Perhimpunan secara aman ini telah dianjurkan oleh Awang Aspar Bin Haji Liwanga dan dibantu oleh beberapa orang rakan lain serta dihadiri oleh seorang wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk. Patrick Sindu.

Acara perhimpunan tersebut mendapat sambutan yang mengalakkan. Perhimpunan itu dimulakan dengan berhimpun di kawasan Dataran Kinabatangan dan seterusnya para peserta perhimpunan menuju ke kawasan Gua Gomantong untuk majlis penyerahan memorandum perjanjian di antara Orang Sungai Bulud Upih dengan pihak British North Borneo Chartered Company (BNBCC) yang masih lagi berada dan tersimpan dalam keadaan baik.

Pihak kerajaan yang ada kini didakwa gagal mengambil sebarang tindakan terhadap isu berkenaan Gua Gomantong walaupun perkara ini sudah berpuluh tahun berlaku dan isu ini sering kali dibangkitkan.

Wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Datuk Patrick Sindu berkata kehadirannya ke Kinabatangan tidak ada kaitan dengan politik sebaliknya kehadirannya adalah sebagai seorang wakil daripada (SUHAKAM) dan akan membantu dalam menyelesaikan isu tuntutan hak Gua Gomantong yang telah lama membelengu.

Isu tuntutan hak ke atas Gua Gomantong ini sudah lama berlaku dan kegagalan ini mencerminkan kelemahan pihak kerajaan dalam mentadbir urus isu tersebut walaupun ia melibatkan kepentingan rakyat di kawasan tersebut.

Beliau juga mengesa agar pihak kerajaan yang ada kini mahu pun kerajaan baru yang akan datang dapat menyelesaikan isu serta menyerahkan kembali Gua Gomantong yang sememangnya adalah milik Orang Sungai dan ini diakui serta tercatat di dalam memorandom perjanjian yang telah dibuat oleh pihak British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada tahun 1884.

Beliau juga berjanji akan membantu dalam menyelesaikan perkara mengenai isu Gua Gomantong ini.






TUNTUTAN.....Datuk Patrick Sindu bersama tiga pewaris Gua tersebut.

Manakala Pengerusi Penganjur Awang Aspar pula berkata, sebelum ini beberapa cadangan dan memorandum telah pun dikemukakan dan diserahkan kepada pihak kerajaan termasuklah kepada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan beberapa Jabatan Kerajaan yang berkenaan.

Bagaimanapun kesemua cadangan ini tidak mendapat maklum balas yang positif daripada pihak kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) kerana mereka lebih mementingkan kepentingan individu dari memikirkan masalah rakyat.

“Gua Gomantong adalah hak kami dan biarlah kami yang membuat kerja-kerja pengutipan sarang burung tersebut. Kami sememangnya mahir dalam membuat kerja ini yang telah menjadi kerja turun temurun nenek moyang kami dan bukannya dilakukan oleh pekerja-pekerja asing yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat besar.

"Mata yang memandang dan telinga yang mendengar menambahkan sakit di dalam hati ini mengapa pekerja asing yang melakukan kerja-kerja tersebut sedangkan tenaga anak muda di kawasan Kinabatangan ini masih ramai?

"Mengapa tidak diberikan peluang begitu kepada mereka dan saya juga menyokong pendapat yang telah disuarakan oleh Datuk Patrick Sindu serta Awang Aspar agar menyerahkan Gua Gomantong kepada kami semula dan biarlah kami yang menguruskannya kerana ini lebih menjamin ekonomi rakyat yang tinggal di kawasan Kinabatangan ini. Pihak kerajaan tidak akan mengalami sebarang kerugian sekiranya Gua Gomantong diserahkan semula kepada kami,” kata Asbal Bin Asik selaku AJK Penganjur perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan secara aman ini bertujuan untuk mengesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar mengembalikan hak perwarisan anak negeri ke atas pengutipan sarang burung di Gua Gomantong kepada kami dan merayu agar kerajaan negeri meminda enakmen pemeliharaan hidupan liar (1997).

"Selama kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah di sini, hak kami sebagai anak negeri ini telah rampas dan kami hidup kami ditindas. Jika dibandingkan pada zaman pemerintahan kerajaan British dahulu adalah lebih baik daripada apa yang ada serta yang kami alami sekarang. Kerana kerja-kerja pengutipan sarang burung diserahkan kepada suku kaum kami oleh pihak British,” kata Sakirun Insani selaku Setiausaha perhimpunan ini.

Dalam pada itu, Calon SAPP Aprin Bin Musin yang bertanding merebut kerusi kawasan (DUN) N.48 Sukau turut hadir sama di dalam perhimpunan tersebut dan seterusnya beliau selaku wakil kepada penduduk dan pewaris menyerahkan memorandum perjanjian Gua Gomantong kepada Datuk Patrick Sindu selaku wakil daripada pihak (SUHAKAM) di kawasan ruang legar pejabat Jabatan Hidupan Liar dan disaksikan sendiri oleh pegawai dan kakitangan jabatan tersebut juga para peserta perhimpunan.

“Permasalahan ini sememangnya telah lama disuarakan oleh penduduk-penduduk yang tinggal di sekitar kawasan (DUN) Sukau kepada pihak-pihak yang berkenaan namun sehingga kini tidak ada jawapan yang diterima.

"Isu permasalahan ini telah lama membelenggu penduduk-penduduk di kawasan Sukau juga kawasan sekitarnya dan isu yang paling besar adalah isu Tanah dan Gua Gomantong. Kelemahan daripada tampuk pimpinan yang menerajui kawasan Sukau dan sekitarnya kini menyebabkan penduduk di kawasan tersebut bangkit untuk menentang.” kata Aprin lagi.

Selain itu beliau juga mengesa serta berjanji kepada semua penduduk-penduduk Sukau dan kawasan sekitarnya agar bangkit demi perubahan.

“Saya berjanji kepada semua penduduk Sukau dan sekitarnya sekiranya penduduk Sukau memberikan mandat kepada saya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kali ini, saya akan membawa apa juga permasalahan yang dialami di sini ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk diselesaikan.

"Saya juga akan mengunakan semua jenis laman sosial yang ada kini untuk dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai landasan juga alat perhubungan dan mendengar segala rintihan yang akan diajukan oleh penduduk Sukau demi untuk satu perubahan dan juga memajukan Sukau serta kawasan sekitarnya. Bukan sekadar membawa perubahan, tetapi yang penting membuat perubahan,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment