Wednesday 15 May 2013

KERETA SELUDUP AKAN DIHANTAR KE BRUNEI






KOTA KINABALU : Sejumlah 41 kereta mewah bernilai RM4juta yang dicuri dari Brunei dan diseludup ke Sabah pada 2011 akan dihantar semula ke negara jiran itu, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontinjen Sabah SAC Datuk Tan Kok Liang.

Beliau berkata semua kereta itu, yang sudah dijual di Sabah, akan dihantar ke Brunei selepas siasatan kes berkenaan selesai dan pemilik kenderaan dikenal pasti.

"Mereka telah membuat tuntutan kepada pihak insurans di Brunei dan pihak polis dari sana telah datang ke sini untuk menerima kereta berkenaan bagi pihak mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kepayan Selasa.

Tan berkata selepas menerima maklumat dan permintaan polis Brunei, pihaknya melancarkan operasi selama 3 bulan sejak Oktober 2011 dan menahan enam rakyat tempatan dan seorang warga Brunei.

Beliau berkata penahanan itu membawa kepada penemuan kereta curi berkenaan dan kes itu mengambil tempoh masa yang lama untuk diselesaikan kerana memerlukan penelitian.

"Mereka (suspek) juga didapati telah berjaya memalsukan cukai jalan kereta berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Brunei SAC Pengiran Wahab Pengiran Omar berkata semua kereta akan dibawa dan dikumpul di Tempurung (Brunei) sebelum diserah kepada pihak yang terbabit.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah mendapat agihan 16 jentera FRT, lima kenderaan utiliti dan dua jentera PBS (Pasukan Bomba Sukarela) dari ibu pejabat Putrajaya yang bernilai RM1.7 juta.

Pengarahnya, Tuan Nordin Pauzi berkata jentera itu merupakan antara yang terbaik di dunia kerana menjadi pilihan negara maju dan negara yang lebih terkedepan berkaitan kebombaan.

"Ia menggunakan teknologi automotif dan casis dari Scania, yang berasal dari negara Sweden, keupayaan enjin 9000cc dengan 310 kuasa kuda, mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lengkap seperti brek angin sepenuhnya dengan system ABS, sistem transmisi dwifungsi iaitu gear boleh dikendali sama ada secara automatik ataupun secara manual," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment