Friday 17 May 2013

KHALID MESTI HAPUSKAN PERSEPSI NEGATIF






Oleh : LIM GUAN ENG

KETUA Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah berikrar untuk menjadikan keselamatan rakyat sebagai keutamaan demi mengembalikan persekitaran yang baik untuk orang ramai.

Ikrar tersebut pastinya akan diuji supaya tidak menjadi janji mulut semata-mata tetapi mesti dibuktikan dengan kejayaan menurunkan kadar jenayah di dalam negara.

Khalid juga berdepan cabaran untuk membuang persepsi negatif masyarakat bahawa beliau mempolitikkan pasukan Polis demi BN dengan memberi tumpuan kepada membanteras jenayah dan bukan pemimpin Pakatan Rakyat.

Keselamatan awam adalah isu pilihan raya umum yang menyaksikan rakyat meluahkan kebimbangan mereka berikutan peningkatan kes ragut, rompakan tepi jalan dan kes tembak menembak meski pun ada dakwaan bahawa indeks jenayah telah menurun sebanyak 7.6 peratus dalam tahun 2012, dengan 153,811 kes direkodkan berbanding 166,295 kes pada tahun 2011; penurunan sebanyak 12,484 kes.

Dengan begitu banyak mangsa jenayah, tidak ada sesiapa pun yang mempercayai dakwaan pihak polis atau bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Hussein bahawa terdapat penurunan sebanyak 27 peratus dalam kadar jenayah dari tahun 2009 sehingga 2012, jika dibanding dengan peningkatan sebanyak 33 peratus di antara tahun 2004 sehingga 2008.

Khalid boleh menjadi Ketua Polis Negara yang lebih teruk daripada pendahulunya, kecuali jika beliau boleh menunjukkan kejayaannya membanteras penjenayah dan bukan menguruskan musuh politik BN.

Saya mempunyai pengalaman buruk dengan Khalid, sewaktu beliau menyerang saya secara terbuka ketika menjadi Ketua Polis Selangor kononnya kerana saya enggan bekerjasama dengan pihak polis yang mahu mengambil kenyataan saya, sungguhpun saya sudah berbuat demikian.

Sungguh beliau kemudiannya mengakui kesalahannya, beliau tidak pun meminta maaf atau menarik balik serangannya terhadap saya.

Saya harap Khalid akan bertindak secara lebih merendah diri apabila berinteraksi dan mendengar keluhan masyarakat umum. Kita semua pernah melakukan kesilapan namun apa yang penting ialah bagaimana kita belajar dan menguruskan kesilapan yang telah dilakukan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan parti DAP bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk membanteras jenayah kerana ini adalah isu yang terlalu penting untuk dipolitikkan. DAP menyarankan pendekatan tiga cabang iaitu:

1. Menambahkan bilangan anggota peronda di jalanraya sebanyak 100 peratus,

2. Menggalakkan pempolisan komuniti memalui rondaan sukarela di dalam kejiranan oleh penduduk setempat seperti Pasukan Peronda Sukarela di Pulau Pinang, dan

3. Komitmen untuk memasang lampu jalan serta kamera litar tertutup (CCTV), terutamanya di kawasan panas bagi menghalang dan mengenalpasti jenayah.

Marilah kita menjadikan jalanraya, tempat kerja, kedai, pusat rekreasi, sekolah, dan perumahan di Malaysia selamat untuk semua, terutamanya wanita dan kanak-kanak.

(NOTA : Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang).

No comments:

Post a Comment