Thursday 30 May 2013

KK CONVENTION CITY BERNILAI RM1.4 BILION






KUALA LUMPUR : Mah Sing Group Bhd akan membangunkan projek Kota Kinabalu Convention City (KKCC), pembangunan pesisir pantai bertaraf dunia di tapak seluas 9.33 ekar, dengan nilai pembangunan kasar RM1.4 bilion.

Mah Sing membelanjakan kira-kira RM184.9 juta bagi pelaburan tanah atau bersamaan dengan 13.2 peratus daripada anggaran potensi nilai pembangunan kasar bagi cadangan pembangunan itu yang terletak bersebelahan dengan Sabah International Convention Centre (SICC).

Pelaburan itu akan dibayar bagi minimum 42 bulan, kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan Rabu.

Mah Sing, menerusi anak syarikat 51 peratus miliknya, Convention City Development Sdn Bhd, hari ini memeterai perjanjian pembangunan dengan Yayasan Sabah untuk membangunkan tanah komersil utama di tanah seluas 8.33 ekar bagi peruntukan RM163 juta.

Selain RM1 juta dibayar selepas pelaksanaan perjanjian pembangunan, selebihnya akan dibayar dalam empat bahagian bagi minimum 3.5 tahun, tertakluk kepada obligasi yang ditunaikan oleh pemilik tanah.

Sebuah bangunan dengan 0.4 hektar (satu ekar) tanah yang bersempadan dengan projek itu juga dibeli dengan harga RM21.9 juta daripada Sasinma Sdn Bhd.

Mah Sing berkata menerusi Convention City Development, ia juga layak untuk melaksanakan opsyen bagi 5.95 ekar tanah bersebelahan yang mungkin menjana tambahan nilai pembangunan kasar RM600 juta, berpotensi meningkatkan nilai pembangunan kasar Kota Kinabalu Convention City kepada RM2 bilion.

"Kami mungkin melaksanakan opsyen bagi harga hak RM117 juta, dalam masa dua tahun daripada pengeluaran isu berasingan dokumen hak.

"Ini akan meningkatkan lagi nilai projek KKCC kami dan keseluruhan harga hak bagi kedua-dua fasa berada kira-kira 15 peratus daripada potensi nilai pembangunan kasar RM2 bilion yang akan dijana sekiranya kami melaksanakan opsyen itu," kata Pengarah Urusan Mah Sing Group Tan Sri Leong Hoy Kum dalam kenyataan itu.

Beliau juga berkata Mah Sing yakin Kota Kinabalu Convention City akan menjadi projek mercu tanda di Sabah.

Bersama dengan pembelian ini, Mah Sing kini memiliki 44 projek dengan gabungan baki nilai pembangunan kasar dan jualan belum dibil RM27.8 bilion. (Bernama)

No comments:

Post a Comment