Friday 3 May 2013

LAHAD DATU, LOST WORLD YANG MEMBAZIR






Oleh : SYUKRI MUSLEH

KEGAGALAN Barisan Nasional menepati janji untuk membina Lapangan Terbang Baru Lahad Datu sehingga menjadikan Lahad Datu sebagai 'Lost World' sinonim dengan jolokan kepada Lembah Danum adalah antara isu yang dicanangkan oleh Calon PKR N 50, Lahad Datu, Dr Abdul Hamid Awong.

Kata Hamid, tidak ada ertinya Lahad Datu mempunyai POIC dan Pusat Pelancongan terkenal di dunia jika sukar dihubungi melalui udara kerana Lapangan Terbang antik yang dibina di zaman Jepun ini hanya boleh mendaratkan pesawat ringan yang menyebabkan pelancong terpaksa mendarat di Tawau dan Sandakan jika ingin ke Lembah Danum atau Pusat Hidupan Liar Tabin.

Selain gagal menunaikan janji berkenaan yang dibuat sejak 1994, kata Hamid, BN juga gagal menjadikan hasrat para belia Lahad Datu menjadi realiti untuk mempunyai kompleks sukan sendiri; melainkan memperbaharui janji yang ditukar jenama setiap kali pilihanraya.

Kemudahan asas seperti jalan raya yang di Lahad Datu tidak menyumbang kepada pengembangan ekonomi kerana jalan di luar bandar masih terlalu teruk berbanding dengan jutaan ringgit yang dilaburkan.

"Jangankan di luar bandar, jalan di dalam bandar sudah menjadi seperti jalan di Semporna yang berlubang di sana sini. Wakil Rakyat BN gagal memastikan sistem perhubungan dalam keadaan siap sedia sehingga jalan dua hala yang baru dibina berbahaya kepada lalu lintas," kata Hamid yang meyakini pihaknya akan melakukan yang terbaik jika diberikan mandat.

Pengangguran, kata Hamid adalah masalah utama belia di Lahad Datu sekalipun Pusat Akuakultur Negara terletak di Silam.

"Jika sumber kekayaan diversiti dan khazanah laut negara tidak diurus dengan baik, bukan sahaja meningkatkan kadar kemiskinan, malah menyebabkan ekonomi Lahad Datu statik dan hanya bergantung kepada kelapa sawit yang mengalami ketandusan pekerja," jelas Hamid yang mempunyai kepakaran dalam bidang Akuakultur.

Hamid menegaskan, jika diberi peluang, beliau berhasrat untuk menaiktaraf kemudahan bekalan air dan elektrik yang menjadi dua halangan terbesar kepada kemajuan Lahad Datu; terutama memastikan POIC menjadi tarikan pelabur dunia dan bukannya menjadi padang jarak padang terkukur.

"POIC adalah pelan jangka panjang menghapus kemiskinan dan pengangguran, tetapi tidak diurus dengan baik, menjadikannya sebagai barang hiasan, cantik dipandang tetapi tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat," ujar Hamid yang meyakini pihaknya akan berjaya memenangi kerusi berkenaan sekalipun menghadapi tentangan cukup hebat daripada semua calon.

No comments:

Post a Comment