Wednesday 22 May 2013

LHDN SABAH SASAR KUTIP RM40 BILION CUKAI






TAWAU : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah menyasarkan kutipan cukai sebanyak RM40 bilion tahun ini berbanding RM38 bilion tahun lalu, kata Pengarahnya, Kamaruzaman Ab Salleh.

Katanya, sasaran itu boleh dicapai berdasarkan prestasi kutipan cukai yang baik oleh agensi itu pada tahun lalu.

"(Sasaran) kutipan kita tahun lepas melepasi sasaran. Kita sasarkan mengutip RM37 bilion namun hasil kerjasama semua pihak, kita telah mengutip RM38 bilion," katanya kepada pemberita selepas melepaskan "Operasi Mesra Hasil" di sini Selasa.

Operasi Mesra sepanjang dua hari itu merupakan salah satu strategi LHDN bagi mencapai sasaran pungutan hasil di Sabah tahun ini.

Menurutnya, peniaga dan orang ramai tidak perlu bimbang atau takut apabila didatangi para pegawai LHDN kerana kedatangan mereka adalah untuk membantu jika pelanggan menghadapi masalah mengisi borang.

Kamaruzaman berkata operasi khas pematuhan di Tawau itu melibatkan 100 pegawai dan anggota dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuah dan merupakan yang ketiga selepas Kota Kinabalu dan Keningau.

Katanya operasi dua hari itu juga melibatkan operasi khas banci perniagaan (OBB), operasi khas majikan (PCB), operasi khas serahan tangan unit pungutan dan operasi khas serahan tangan audit meja.

Menurutnya antara sasaran operasi itu ialah kawasan taman-taman perumahan dan kawasan industri.

Beliau berharap Operasi Mesra Hasil berkenaan dapat memberikan impak besar kepada pembayar cukai supaya dapat mematuhi peraturan dan undang-undang percukaian.

Mengenai sambutan pembayar cukai di Sabah, Kamaruzaman berkata ia amat baik. (BERNAMA)

1 comment: