Saturday 4 May 2013

MAGIK PRU-13, BAPA SAYA KEMBALI MENGUNDI?






Saudara Pengarang,

WALAUPUN bapa saya, Cheng Ang Kok telah meninggal dunia 30 tahun lalu dan kematiannya telah didaftarkan dan sijil mati telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, namun tiba-tiba saya dapati namanya 'diwujudkan' kembali dalam Daftar Pemilih 2013.

Semakan saya di Daftar Pemilih SPR yang telah diwartakan (2013) mendapati, mendiang bapa saya 'mengundi' di Saluran 1, Nombor Siri 88, SK Pekan Dua WP Labuan; lokaliti Jalan Parit, Victoria Selatan, W.P. Labuan

Menurut rekod Sijil Mati 661/80, bapa saya telah meninggal dunia pada 20 September 1980 ketika berusia 33 tahun.

Persoalan ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan yang amat sangat kerana setelah 30 tahun berlalu, namanya tiba-tiba muncul kembali dalam usia 74 tahun; seolah-olah beliau 'dihidupkan semula' setelah kematian rasmi semata-mata untuk 'mengundi' pada PRU-13.

Kami sekeluarga bimbang dokumen pengenalan diri, terutama kad pengenalan lama mendiang bapa kami, H0579120 dan Mykadnya  390705-12-5441 diaktifkan semula dan diberikan kepada PATI dan kemudiannya menjadi pemilih berdaftar?





Mungkinkah ada sindiket menjual rekod orang mati di JPN kerana Sabahkini.net pernah menyiarkan bahawa ramai PATI India memiliki kad pengenalan orang mati yang telah diaktifkan semula?

Persoalannya, jika bapa kami yang meninggal dunia tiga dekad lalu boleh kembali mengundi, apatah lagi mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi atau mereka yang meninggal dunia lima atau 20 tahun lalu?

Saya berharap agar ada pihak yang membantu memantau perkara ini bagi memastikan tidak ada PATI yang muncul dan mengundi bagi pihak mendiang bapa kami yang telah lama bersemadi dengan aman; tetapi rohnya mungkin terganggu dengan tragedi menyedihkan ini.

Salam Hormat,

EMILY CHIN   

No comments:

Post a Comment