Wednesday 8 May 2013

MUKA BARU BAKAL SERTAI KABINET SABAH?






Oleh : NEWMOND TIBIN DAN JAILANI HASAN

KOTA KINABALU : Spekulasi tersebar luas berhubung barisan baharu Kabinet negeri Sabah, dengan penganalisis politik tempatan meramalkan sekurang-kurangnya empat menteri baru akan dilantik, masing-masing seorang daripada Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (Upko).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Isnin, dijangka mengumumkan senarai baharu Kabinet negeri dalam beberapa hari lagi.

Musa memimpin BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang baru sahaja berakhir dan menyaksikan BN mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding tiga pada 2008.

Sebelum pilihan raya umum, terdapat enam menteri daripada Umno (termasuk Ketua Menteri yang turut menyandang portfolio Kementerian Kewangan) dalam Kabinet negeri, dua menteri daripada PBS, dua daripada Gerakan dan seorang daripada Upko.

Difahamkan selain Naib Presiden Gerakan Datuk Raymond Tan, yang juga anggota Kabinet negeri dalam kerajaan BN sebelum ini, Naib Presiden PBS Datuk Edward Yong Oui Fah, Naib Presiden LDP Datuk Pang Yuk Ming, kedua-duanya bekas menteri muda, disebut-sebut akan dinaik pangkat sebagai menteri penuh bagi slot Cina.

Bagaimanapun, Adun Tanjung Kapor Datuk Teo Chee Kang, Adun Karamunting Charles O Pang Su Pin daripada LDP dan Adun Elopura Au Kam Wah daripada Gerakan mungkin turut dipertimbangkan bagi jawatan menteri penuh atau pembantu menteri.

Barisan kerajaan Sabah terdiri daripada tiga timbalan ketua menteri mewakili kaum Kadazandusun, Cina dan Melayu, bagi menggambarkan konsep perkongsian kuasa antara tiga kaum utama di Sabah.

Seorang penganalisis politik, Salman Nurillah, meramalkan dengan kekalahan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Yee Moh Chai, yang kalah kerusi DUN Api-Api, saingan bagi jawatan timbalan ketua menteri yang diperuntukkan bagi kaum Cina berkemungkinan antara Raymond Tan (Gerakan) yang lebih berpengalaman dan Pang Yuk Ming (LDP).

"Ini satu lagi keadaan yang rumit bagi ketua menteri kita. LDP menang kesemua kerusi asal yang diperuntukkan kepada parti berpusat di Sabah itu dan pada masa sama, ahli politik veteran Raymond Tan menyandang jawatan timbalan ketua menteri sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Salman, seorang bekas penjawat awam yang memiliki ijazah undang-undang dari Universiti Malaya dan ijazah Sarjana daripada UiTM, turut meramalkan sama ada Adun Karambunai Datuk Jainab Ahmad atau Adun Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, kedua-duanya bekas pembantu menteri, akan dilantik menggantikan Datuk Azizah Mohd Dun yang kini Anggota Parlimen Beaufort.

Ketika dihubungi, Jainab berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab itu dan berkhidmat kepada rakyat, namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan ketua menteri untuk membuat keputusan.

Menurut sumber daripada Upko, sekurang-kurangnya tiga nama -- Adun Nabawan Datuk Bobbey Suan, Adun Paginatan Datuk Siringan Gubat dan Adun baharu bagi Kuala Penyu Limus Jury, disebut-sebut untuk mengisi jawatan dalam Kabinet negeri, menggantikan Datuk Ewon Ebin, Anggota Parlimen Ranau yang juga bekas Adun Paginatan.

Setakat hari ini, belum jelas sama ada terdapat pertukaran tugas bagi bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang memenangi kerusi DUN Usukan, dalam barisan baharu Kabinet negeri.

Sementara itu, Adun Kiulu, yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Adun Kundasang Joachim Gunsalam dan Adun Tandek Anita Baranting daripada PBS adalah antara calon berpotensi bagi jawatan pembantu menteri. (Bernama)

No comments:

Post a Comment