Thursday 30 May 2013

ORANG LAIN GUNA IC LAMA BUKA AKAUN BANK






KOTA KINABALU : Seorang peniaga memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah bahawa kad pengenalan (IC) lamanya digunakan orang lain ketika beliau memohon untuk membuka akaun bank pada 2007.

Chia Oi Len, 59, dari Papar berkata IC lamanya yang nombor siri bermula dengan huruf H, tidak pernah hilang sebaliknya ditukar dengan IC bunga raya.

"Pihak Maybank Kota Kinabalu beritahu yang permohonan saya untuk membuka akaun simpanan tidak dapat dibuat kerana ada orang lain buka akaun menggunakan IC lama saya di Kuala Lumpur," katanya.

Selepas itu, beliau membuat laporan polis dan memutuskan untuk menukar IC bunga rayanya kepada MyKad.

Chia juga memaklumkan panel lima anggota yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, beliau berjaya membuka akaun di bank berkenaan menggunakan MyKad namun tidak boleh memohon perkhidmatan kad ATM untuk pengeluaran wang.

Ketua Jurutera Air Sabah Quirine @ Quirinus Jokinol pula memaklumkan Jabatan Air Negeri mengalami kerugian antara 2008 dan 2012 berikutan penyambungan haram serta kecurian air.

Beliau berkata kerugian isi padu air yang dialami pada 2008 ialah 71,394 meter padu manakala bagi 2012 ialah 259,732 meter padu.

"Setiap meter padu adalah 90 sen, dan apabila diterjemahkan kepada Ringgit, Jabatan Air Negeri kerugian RM233,760.60 tahun lepas meningkat daripada RM64,254.60 kerugian yang dialami pada 2008.

"Bagi kos yang tidak perlu, termasuk membaiki paip dan meter air yang diusik khususnya di kawasan setinggan, sebanyak RM78,150 dibelanjakan pada 2008 manakala RM275,690 dibelanjakan pada tahun lepas," katanya sambil menambah terdapat setinggan yang diduduki warga asing.

Turut memberi keterangan pada prosiding hari ini ialah Pensyarah Sains Sosial Profesor Madya M Kntayya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang membuat kajian berkaitan tahap toleransi etnik di Sabah.

Beliau berkata masyarakat di Sabah mempunyai tahap toleransi tinggi berdasarkan skala jarak sosial Borgardus yang diterima pakai di peringkat antarabangsa untuk mengukur hubungan serta tahap toleransi pelbagai etnik.

"Dari skala satu hingga lima, dengan skala satu menunjukkan tahap toleransi tertinggi dan lima tahap toleransi paling rendah, tahap toleransi etnik di Sabah adalah antara satu dan dua," katanya.

Panel RCI turut dianggotai bekas Naib Canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Kumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk KY Mustapha dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J Luping.

Prosiding yang dikendali Datuk Azmi Arifin, Jamil Ariffin dan Manoj Kurup bersambung pada 17 hingga 21 Jun depan.

Setakat ini, seramai 107 saksi memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment