Wednesday 29 May 2013

PEROGOL GUNA MAHKAMAH SYARIAH TUTUP JENAYAH?






KOTA KINABALU : Difahamkan, pengurus restoran berumur 40 tahun, Riduan Masmud, yang didakwa merogol dan kemudiannya berkahwin dengan mangsanya berumur 13 tahun, 'sering membawa remaja itu keluar', walaupun permohonan poligaminya masih belum selesai.

Menyatakan perkara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ayid berkata pada Isnin bahawa beliau tahu tentang perkara itu, selepas seorang pegawai mengambil remaja itu, baru-baru ini.

Beliau berkata ibu bapa kepada remaja itu berpendapat dia akan lebih selamat tinggal di rumah dan merestui hubungan mereka dengan lelaki dituduh merogol remaja tersebut.

"Apa yang mereka (ibu bapa) pentingkan ialah remaja itu sudah berkahwin dengan lelaki itu, jadi maknanya lelaki itu boleh melakukan apa saja yang dia mahu dengan remaja tersebut. Ini menimbulkan banyak kebimbangan kami," katanya semasa lawatan rasminya ke jabatan itu.

Riduan, bapa kepada empat anak dan seorang mualaf, memfailkan permohonan poligaminya di Mahkamah Syariah pada 30 April atau dua bulan selepas laporan polis dibuat, yang akan membolehkannya mengambil isteri kedua.

Bagaimanapun, dia tidak hadir untuk sebutan permohonannya di mahkamah pada 15 mei tanpa sebarang sebab munasabah, kerana tuduhan merogolnya masih berjalan di Mahkamah Sesyen.

Namun pada 20 mei, dilaporkan bahawa Riduan melalui peguamnya mendakwa di Mahkamah Sesyen bahawa dia telah memberikan semua dokumen dan sijil berhubung pernikahannya kepada pegawai penyiasat.

Jainab berkata Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Awam Negeri berhak menjaga remaja itu di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Menggambarkan betapa berat perbuatan jenayah Riduan, Jainab mengambil contoh Nabi Muhammad yang berkahwin dengan Siti Aishah pada umur sembilan tahun.

Bagaimanapun, dalam kes Riduan, beliau berkata lelaki itu didakwa menggambarkan dirinya sebagai lelaki berumur 24 tahun dalam Facebook dan mengambil kesempatan ke atas remaja itu, yang masih berpakaian seragam sekolah ketika kejadian.

Beliau berkata, Riduan membawa remaja itu bersama dengan rakannya, seorang perempuan yang juga berpakaian seragam sekolah dan duduk di kerusi belakang kereta lelaki itu.

"Dia juga menyebabkan rakan mangsanya melihat perbuatannya, meninggalkan pakaian mangsa seperti mana yang diberitahu kepada saya oleh ahli kumpulan Tindakan Wanita Sabah (Sawo)," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa tidak tahan melihat kejadian itu dan melarikan diri serta melaporkannya kepada mak cik mangsa, yang kemudiannya membuat laporan polis.

Jainab berkata, tindakan Riduan itu menunjukkan dia berniat buruk terhadap remaja itu dan mahu merogolnya.

Beliau berkata, hanya selepas kes jenayah timbul; barulah Riduan bertindak mahu berkahwin dengan mangsanya, yang menurut Jainab, tidak betul dari segi moral.

Berkata kes itu semakin rumit, Jainab juga mahu berbicara hati ke hati dan merayu kepada semua pihak untuk melakukan perkara yang betul kepada ibu bapa remaja itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Jainab juga berkata beliau tidak mahu Mahkamah Syariah dituduh 'cuba menyembunyikan perkara itu' dan dipandang serong atas kes Riduan itu.

"Kami tidak mahu mahkamah dituduh tidak membantu satu lagi kes sedangkan pihak lain berkata mereka cuba menutup kes itu, sementara Riduan menggunakan mahkamah Syariah untuk menyatakan dia tidak bersalah," kata Jainab.

No comments:

Post a Comment