Friday 31 May 2013

PERSONA NON GRATA, HAK MUTLAK SABAH!






Oleh : MUTALIB M.D

KEKALUTAN kuasa politik Sabah yang bermula di zaman Syed Kechik telah membarah sejak sekian lama merintis jalan yang panjang kepada UMNO untuk mendirikan tugu kuasa; setelah semua undang-undang untuk Sabah yang ditinggalkan British telah diubah mengikut acuan Malaya, termasuk Imigresen dan autonomi Ketua Menteri Sabah.

Bermula dengan zaman Syed Kechik menukang jejari pusat undang-undang tubuh Sabah termasuk Ordinan Tafsiran Anak Negeri yang memasukkan klausa kelayakan memohon Anak Negeri untuk Orang Malaya, Kepuluan Sulu, Sulawesi dan Singapura daripada kumpulan 'Native' di negara berkenaan sebagai Anak Negeri Sabah; tidak pernah dicabar oleh Kerajaan USNO, Berjaya, PBS dan UMNO.

Ordinan yang dipinda di Zaman Syed Kechik membolehkan sesiapa sahaja boleh menjadi 'Native' termasuk Lian Kee Chu atau Kwan Ngen Wah bersaudara yang tidak mempunyai walau setitik darah 'Native' tetapi mempunyai banyak wang untuk mendapat Sijil Anak Negeri Palsu; dengan kerjasama Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang selama ini menjadi pengkhianat kepada Anak Negeri dan menjadikan Mahkamah Anak Negeri sebagai 'Mahkamah Kangaroo'.

Kuasa Istimewa Ketua Menteri yang dimiliki secara 'Mutlak' oleh Al-Marhum Tun Mustapha, seperti Kuasa Imigresen dan ISA telah dihakis secara tidak sedar oleh Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai cara termasuk penubuhan Jabatan Imigresen di Zaman Berjaya; Task Force di Zaman PBS dan Pemusatan Kuasa Imigresen di Putrajaya.

Dengan pemusatan kuasa Imigresen di Putrajaya, maka Ketua Menteri Sabah kehilangan autonomi dan kuasa mutlak terhadap kedaulatan Sabah dan hanya tinggal saki baki kuasa Imigresen mengikut Semangat 20 Perkara; iaitu kuasa sekatan terhadap rakyat Semenanjung ke Sabah; sebaliknya tidak langsung mempunyai kuasa imigresen untuk menyekat kemasukan Warga Asing.  

Agak bertambah malang, Ketua Menteri Sabah yang kehilangan kuasa mutlak Imigresen diketatkan lagi dengan sekatan Akta Imigresen iaitu Kerajaan Persekutuan tidak boleh menangkap Warga Asing di Sabah melainkan mereka telah mendarat di Sabah.

Kelonggaran undang-undang Imigresen ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri hilang kedaulatan ke atas Sabah dan hanya mempunyai kuasa untuk melakukan sekatan terhadap 'Persona Non Grata' iaitu 'Orang yang difikirkan tidak diperlukan di Sabah' termasuk Tian Chua atau Nurul Izzah.

Apakah ruginya rakyat Sabah jika Nurrul Izzah, Tian Chua dan semua Persona Non Grata yang senarainya terdapat di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau tidak dapat masuk ke Sabah? Hanya semata-mata mahu menyambut Pesta Kaamatan dan menimbulkan provokasi, kononnya BN Sabah melakukan 'penipuan pilihanraya'?

Persoalannya, kenapa sejak 5 tahun lalu, tidak ada sebarang cadangan pindaan undang-undang untuk mencabar Akta Imigresen dilakukan oleh Nurul Izzah dan puluhan Ahli Parlimen Pembangkang; sebaliknya hanya dijadikan 'libatan liar senjata politik' tanpa motif yang jelas.

Mempersoalkan kuasa mutlak Ketua Menteri, termasuk soal Kuasa Imigresen terhadap 'Persona Non Grata' dan 'Sekatan Pengembangan Agama (selain Islam) terutama dalam Kes Mazu, telah menyebabkan ketenteraman awam di Sabah terancam; apatah lagi tidak ada pihak yang berani menggunakan lunas-lunas undang-undang untuk mendapatkan hak mereka yang kononnya terhakis.

Kuasa Sekatan terhadap 'Persona Non Grata' yang dimiliki Ketua Menteri Sabah adalah 'Senjata Terakhir' yang masih dimiliki secara mutlak oleh Kerajaan Negeri Sabah; jika itu juga tidak dihormati oleh rakyat Sabah, maka apalah ertinya kemerdekaan ini jika Ketua Menteri tidak boleh melaksanakan kuasa?

Isu Tsunami PATI di antara 1972 hingga 1991, adalah isu yang berbeza kerana Ketua Menteri Sabah tidak mempunyai kuasa Imigresen untuk menghalang warga asing, seperti 'Syaitan Kiram' masuk ke Sabah kerana di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Ketika saya dan keluarga mendapat Taraf Penduduk Tetap Sabah pada 1974, saya memikirkan betapa istimewanya Sabah yang mempunyai kuasa mutlak melakukan sekatan kepada bukan rakyat negeri ini, sebelum dimusnahkan secara total oleh Megat Junid dan Tun Dr Mahathir yang melancarkan Operasi X-Files, 'Durian Buruk'.

Sejak daripada 1991, memiliki kerakyatan Sabah tidak lagi bermakna kerana PATI bukan sahaja mudah mendapati IC Sabah, malah mendapat kod 12, 47, 48 dan 49 sedangkan saya kekal dengan Kod 02 iaitu negeri kelahiran saya, Kedah.  

No comments:

Post a Comment