Friday 31 May 2013

RM250,000 LAGI UNTUK KDCA






PENAMPANG : Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM250,000 untuk Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) menjayakan Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai Padi pada masa depan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Berucap merasmikan acara pelancaran Sukan Tradisi sempena sambutan Pesta Kaamatan 2013, Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata langkah itu dibuat berikutan perayaan itu amat penting dan sinonim di kalangan rakyat Sabah yang terdiri daripada berbilang kaum.

"Saya gembira dengan cara jawatankuasa penganjur berbelanja dengan berhemah, dan saya bersedia menambah peruntukan itu untuk (KDCA) memperbaiki rumah-rumah tradisi dan menyelenggara alat kelengkapan (peralatan muzik)," katanya.

Musa berkata Pesta Kaamatan yang diiktiraf sebagai satu daripada perayaan nasional menjadi medan untuk terus mengukuhkan semangat perpaduan dan kekitaan di kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya khususnya di negeri ini.

Justeru, katanya, penganjuran pameran dan sukan tradisi sempena Pesta Kaamatan itu jelas membuktikan komitmen semua pihak untuk terus memartabatkan keunikan dan khazanah tradisi tempatan.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana dan Kordinasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun.

Perayaan yang diadakan di pentas luar perkarangan Hongkod Koisaan di sini mengetengahkan kebudayaan hampir semua suku kaum yang ada di negeri ini melalui pelbagai acara kesenian dan tarian tradisional dalam suasana penuh meriah dan harmoni.

Antara keunikan Pesta Kaamatan yang bertemakan 'Kekalkan Muhibbah dan Persefahaman Melalui Kaamatan' ialah persembahan Orkestra Bambu yang menampilkan alat muzik tradisional 'Sompoton' (erofon) selain alat muzik tradisional lain seperti 'Seruling Bambu', 'Kulintangan Bambu', 'Bungkau' dan 'Drum Bambu'.

Alat muzik 'Sompoton' kebiasaannya dimainkan pada majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, perayaan-perayaan tradisi dan majlis-majlis rasmi.

Acara kemuncak sambutan ialah Unduk Ngadau atau pertandingan Ratu Cantik Pesta Tuai yang menjadi tarikan utama sambutan perayaan Pesta Kaamatan setiap tahun.

Sambutan itu dirasmikan dengan paluan gong oleh Musa dan disaksikan Nazri serta barisan menteri kabinet lain. Esok Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dijadual merasmikan majlis penutup pesta itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment