Thursday 2 May 2013

RM49 JUTA UNTUK PROJEK KOLEJ ISLAM SABAH






BEAUFORT : Kerajaan memperuntukan sebanyak RM49 juta bagi melaksanakan projek pembinaan Kolej Islam Sabah yang akan bermula dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata pembinaan kolej tersebut telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini.

"Kolej Islam Sabah ini adalah yang pertama di Sabah, dan tujuan pembinaan kolej ini adalah untuk memudahkan para pelajar agar tidak perlu untuk pergi jauh menyambung pengajian mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Integriti Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah di sini.

Azizah yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Beaufort berkata pembinaan Kolej Islam yang akan menawarkan pengajian di peringkat sijil hingga ijazah adalah yang pertama seumpamanyaa di Sabah.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata istilah 'Tukar' yang sering kali dilaungkan oleh pihak pembangkang hanya akan membawa kepada perpecahan kepada umat Islam kerana di Malaysia telah termaktub Islam adalah agama rasmi.

Beliau berkata dengan pembinaan Kolej Islam itu akan dapat melahirkan lebih ramai lagi generasi muda yang tinggi ilmu dalam bidang agama yang tidak akan mudah terpesong akidahnya.

"Pada masa kini kuasa-kuasa luar sentiasa berusaha untuk merosak dan melemahkan umat Islam di seluruh dunia seperti yang berlaku di negara-negara Timur Tengah dengan istilah 'Arab Spring' yang menggantikan kerajaan sedia ada akhirnya merugikan rakyat negara itu sendiri," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pemangku Ketua Umno Beaufort, Isnin Aliasnih berkata Kolej Islam itu, yang akan dibina di Bandar Baru Selagon, adalah hasil usaha kerajaan BN yang komited untuk menambah pusat ilmiah di kawasan Beaufort.

Isnin yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias pula berjanji akan membawa lebih banyak perubahan dan kemajuan kepada penduduk setempat jika diberi mandat pada pilihan raya ke-13 ini. (Bernama)

No comments:

Post a Comment