Friday 31 May 2013

SABAH KELUAR 836 PASPORT POLIKARBONAT





KOTA KINABALU: Dalam tempoh dua hari sejak dilancarkan Isnin lepas, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah mengeluarkan sebanyak 836 Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Polikarbonat.

Pengarah Imigresen Negeri, Noor Alam Khan Wahid Khan berkata dalam tempoh pengenalan ini, pihaknya berusaha capai piagam pelanggan untuk mengeluarkan pasport dalam tempoh satu jam.

Menurutnya, sejak ia dilancarkan, kaunter permohonan pasport dibuka sehingga waktu malam bagi memberi keutamaan kepada orang awam.

“Kalau di negeri lain, mereka menghadkan pengambilan angka giliran dalam tempoh percubaan ini.

“Tetapi kita di sini cuba beri layanan setakat mana yang boleh kepada para pemohon dengan membuka kaunter sampai malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sini kelmarin.

Noor Alam berkata, apa yang menjadi isu utama sekarang adalah masalah gambar pemohon yang kebanyakannya tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Katanya, masalah gambar melambatkan lagi proses pengeluaran pasport walaupun bahagian pencetakan berjalan lancar.

“Antara kriteria yang digariskan untuk pengambilan gambar pasport termasuklah latar belakang berwarna putih dan tidak boleh ada cahaya berlebihan atau pantulan cahaya pada gambar.

“Ini kerana, apabila kita menggunakan polikarbonat, ia dicetak melalui laser dan kesan cahaya yang terlalu terang menyebabkan gambar tidak dapat dicetak.

“Jika ada bayang atau garisan, ia boleh menyebabkan gambar rosak. Justeru, kami minta kepada orang awam supaya mengetahui ciri yang diperlukan sebelum mengambil gambar pasport,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai perkara ini menerusi laman web www.imi.gov.my.

Selain itu jelasnya, Jabatan Imigresen juga berhubung dengan persatuan jurufoto sekitar Kota Kinabalu supaya mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Orang awam boleh mengambil gambar sendiri, tetapi di kedai-kedai gambar yang berlesen dan maklum tentang ciri-ciri yang digariskan.

“Kami turut menerima banyak aduan pada hari pertama pelancaran kerana banyak gambar pemohon yang ditolak.

“Pihak kami bukan sengaja menolak gambar-gambar pemohon atau melambatkan proses pengeluaran. Justeru, kami mahu orang ramai faham dan menyedari perkara ini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini proses pengeluaran Pasport Polikarbonat hanya dijalankan di Kota Kinabalu sahaja dan pelaksanaan di daerah lain akan dimaklumkan kemudian.

Dalam pada itu, Noor Alam berkata pasport jenis lama masih lagi boleh digunakan jika belum tamat tempoh.

Pasport Polikarbonat yang baru diperkenalkan ini memiliki ciri keselamatan yang lebih berkualiti dan tidak mudah ditanggalkan atau dikoyakkan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Imigresen Sabah (Pengurusan), Nik Mohd Azrul Abd Ghafar. (UB)

No comments:

Post a Comment