Friday 17 May 2013

SELESAI SEGERA ISU 'BUKAN WARGANEGARA'






KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini telah meminta pihak yang terbabit dalam kes menuntut kewarganegaraan oleh seorang gadis berusia 14 tahun supaya melihat proses penyelesaian.

Peguam gadis itu Annou Xavier, berkata Hakim Rosilah Yop telah meminta untuk berbuat demikian selepas hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan bapa kandung gadis itu adalah seorang warganegara Malaysia.

Annou berkata laporan DNA daripada Jabatan Kimia bertarikh 26 April lepas telah mengesahkan bahawa S Nanthakumar, seorang pemandu lori, adalah bapa kandung gadis tersebut.

Beliau berkata semasa pengurusan kes yang lalu, kerajaan yang merupakan defendan dalam kes saman sivil itu, telah meminta gadis itu, selaku plaintif, menjalani ujian DNA.

"Hakim menetapkan 31 Julai ini untuk mengetahui hasil kemungkinan mencapai penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan hakim dalam kamar Jumaat.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari, yang mewakili defendan iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Pada Januari lepas, gadis itu, Yanesha, yang ibunya adalah warga Filipina, memfailkan saman dengan memohon perisytiharan antara lain bahawa beliau adalah warganegara Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan dan mahu perintah mahkamah untuk defendan mengeluarkan sijil kelahiran baharu dan Maykad kepada beliau.

Annou juga berkata bahawa kerajaan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan ia sepatutnya difailkan sebagai permohonan semakan kehakiman selain plaintif telah melambatkan permohonan itu untuk beberapa tahun.

Beliau juga berkata gadis itu memohon kerakyatan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan (Kuasa Khas Untuk Mendaftarkan Kanak-Kanak) pada 2005 dan 2011.

Bagaimanapun, katanya permohonan tersebut tidak mendapat respons daripada Ketua Pengarah JPN.

Yanesha memfailkan saman itu melalui ibu saudaranya S Yogeswari selepas gadis itu diberi sijil kelahiran dengan status 'Bukan Warganegara'.

Gadis itu, yang dilahirkan di Bandar Sunway di sini, pada 3 Mei 1999, kini tinggal dengan ibu saudaranya selepas ibu bapanya berpisah. (Bernama)

No comments:

Post a Comment