Saturday 11 May 2013

SEMUA PIHAK PERLU HORMATI PRU-13






Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Bekas Calon Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Parlimen Tenom, Mutang Dawat @ Sylvester (dua dari kanan), tidak merasa kecewa di atas kekalahannya walaupun hanya mendapat 423 undi; tetap menghormati keputusan rakyat.

Beliau yang bertanding pada pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) bagi kali yang ke-5 berkata, keputusan rakyat menerusi pilihanraya seharusnya dihormati oleh semua pihak terutamanya pembangkang yang selama ini melaungkan proses demokrasi.

Jika tidak berpuas hati dengan keputusan itu yang mungkin mempunyai bukti yang kukuh bahawa terdapat unsur-unsur penipuan semasa PRU13 itu dijalankan, maka kata Mutang, pihak yang mempertikaikan keputusan PRU-13 boleh memfailkan petisyen ke Mahkamah; bukannya mengadakan demostrasi atau menghasut rakyat agar bangkit melawan.

“Kita harus mengenepikan emosi atau perkauman daripada menguasai sentimen politik negara kita. Kalau hari ini kita kecundang, kita mempunyai masa lima tahun lagi untuk memperbaiki kelemahan kita bagi meraih sokongan rakyat di masa akan datang,” kata beliau sambil menegaskan akan terus berkhidmat kepada masyarakat, walaupun bukan berstatus wakil rakyat.

Mutang yang juga Timbalan Pengerusi Parti KITA Sabah berkata, untuk berkhidmat kepada rakyat tidak semestinya seseorang itu menjadi wakil rakyat; namun banyak perkara atau peranan yang boleh dimainkan demi membantu rakyat, sama ada menerusi aktiviti kebajikan mahupun aktiviti menggerakkan sosio ekonomi penyokong akar umbi.

Dalam pada itu, beliau turut gembira mendapat tahu bahawa Presiden PERKASA Dato' Ibrahim Ali telah tewas di Parlimen Pasir Mas kerana kelantangan beliau itu (Ibrahim) telah banyak mengundang kebencian rakyat, terutamanya para penganut agama Kristian.

“Saya tidak ingin mengungkit perkara yang telah berlalu, tetapi pemimpin yang rasis dan kelantangan yang keterlaluan tanpa mengambilkira sensitiviti kesukuan lain, perlu ditolak rakyat demi menjaga perpaduan dan keharmonian sebuah negara majmuk seperti negara ini.

“Jangan kerana terlalu taksub dengan pegangan politik sempit sehingga lupa diri bahawa tidak semua rakyat negara ini sukakan amalan politik sedemikian rupa. Pasti rakyat akan menghukum pemimpin yang sebegitu rupa,” tambahnya.

Selain itu, ketika ditanya lanjut berhubung masa depan parti itu selepas beberapa pemimpinnya termasuk Pengerusi telah meninggalkan parti sebelum penamaan calon pada PRU13 beliau berkata;

“Saya akan memanggil mesyuarat perhubungan negeri dalam masa terdekat dan akan memaklumkan perkembangan tersebut kepada pusat supaya tindakan seterusnya dapat diambil. Kami sudah merancang satu pelan tindakan baru untuk mentransformasikan parti ini di Sabah sebagai langkah persiapan PRU14 atau sebarang pilihanraya kecil jika ada,” tegas Mutang.

No comments:

Post a Comment