Tuesday 28 May 2013

SESB HANYA CEKAP POTONG KARAN?






"SEBAGAI satu-satunya pembekal elektrik di Sabah, SESB mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu pelanggan punca masalah catuan pembekalan yang berlaku baru-baru ini," kata Pegawai Khas ADUN Elopura, Chan Tzun Hei.

Walaupun hampir setiap kali berlakunya catuan bekalan elektrik, kata Chan, Pengurus Zon Timur SESB, Abdul Liman hanya menghantar SMS kepada beliau, namun isi kandungan SMS tersebut amat umum seperti "disebabkan masalah janaan, catuan bekalan akan dilaksanakan untuk kawasan Sandakan secara berperingkat, mohon maaf atas segala kesulitan".

Ayat seperti ini, kata Chan, boleh dibuat oleh sesiapa sahaja; sebaliknya SESB perlu menjawab dan memaklumkan kepada orang ramai punca berlakunya catuan seperti di mana berlakunya catuan?; Penjanakuasa mana yang mempunyai masalah?; Apa masalah pada penjanakuasa tersebut?; Berapa jumlahnya mega watt elektrik berkurangan? dan bila akan dipulihkan seperti biasa?


Selain menimbulkan kesulitan kepada pelanggan, kata Chan, sebahagian alat-alat elektrik telah rosak akibatnya, di samping itu lampu isyarat turut terjejas sehingga menyebabkan kemalangan jalanraya berlaku.

Chan yang juga merupakan Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia bahagian Sandakan, mencadangkan agar SESB menawarkan kaunter khidmat bergerak bagi membantu pelanggannya mengurus tuntutan gantirugi pada alat-alat elektrik yang rosak.

"Sekiranya SESB tidak mampu untuk bertindak sendiri dengan berkesan dalam menyelenggara dan memeriksa penjanakuasa mereka, mungkin SESB boleh menjemput NGO yang mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang ini sebagai pemantau atau rakan dalam kerja-kerja tersebut," kata Chan yang kurang berpuas hati dengan mutu perkhidmatan SESB.

Selain daripada pembekalan elektrik, Chan turut menegaskan bahawa SESB agak lemah dalam mengendalikan kemudahan milik mereka seperti talian kabel yang berjuntai, tiang elektrik yang condong dan hampir runtuh; serta gagal menangani masalah kecurian elektrik.

"Mereka tidak boleh hanya efisien dalam mengecaj bayaran yang tinggi kepada pihak pengusaha perumahan dan komersial, denda atau henti pembekalan pelanggan sekiranya lewat atau tidak terbayar bil elektrik. Sepatutnya pihak SESB menggunakan cara dan prestasi kerja yang sama dalam menguruskan masalah-masalah yang disebut di atas," kata Chan yang menggesa agar SESB melakukan transformasi pentadbiran. (Media Gerakan)

No comments:

Post a Comment