Saturday 18 May 2013

SMK SEPAGAYA MUDAH DI CEROBOH






Saudara Pengarang,

BAGI pihak ibu bapa dan guru SMK Sapagaya, Lahad Datu kami agak terkilan kerana ADUN Lahad Datu dan Ahli Parlimen Silam tidak pernah mempedulikan rayuan kami untuk mengambil langkah perlu memastikan sekolah ini selamat daripada sebarang bentuk pencerobohan atau gangguan fizikal daripada anasir luar.

Semoga insiden Pencerobohan Pengganas di Tanduo dijadikan iktibar kerana kami bimbang anak-anak kami menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggung jawab disebabkan kecuaian kerajaan, terutama pasukan keselamatan memastikan kawasan sekolah Sifar Jenayah.

SMK Sapagaya ini terletak di tepi Bandar Sri Perdana, Lahad Datu tetapi seolah-olah berada di tengah hutan rimba kerana bukan sahaja pagar di sekeliling sekolah bocor dan bolos; malah segala kemudahan asas terlalu daif.

Bayangkanlah bagaimana anak-anak kami mahu menimba ilmu daripada guru dengan sempurna jika bilik darjah tidak mempunyai bekalan elektrik; tandas yang bukan sahaja tidak ada pintu, malah kering kontang.

Dengan bilangan murid seramai 2,500 orang, anak-anak kami bagaikan Kem Pelarian Perang yang tidak terurus dan terdedah kepada gejala kurang sihat seperti pengedaran dadah dan samseng.

Sejak akhir-akhir ini, sudah empat kali SMK Sapagaya dipecah masuk oleh pencuri dan penceroboh; dan sudah lebih sepuluh kali pergaduhan telah dilaporkan kepada pihak polis, namun tidak ada sebarang tindakan susulan dan langkah pencegahan diambil.





Orang luar begitu mudah memasuki sekolah dan memukul pelajar secara wewenang kerana terdapat lebih 10 buah lubang besar yang boleh dibolosi pada bila-bila masa.

Demi keselamatan anak-anak kami, SMK Sapagaya sewajarnya diberi peruntukan untuk membina pagar konkrit dan mempunyai sistem keselamatan; jika tidak, ubahsuai sahaja sebagai Feed Lot untuk menternak lembu kerana tidak lagi sesuai sebagai sekolah.

Amat malang, walaupun rumah Ahli Parlimen dan rumah ADUN hanya 'sepelaung' namun mereka tidak pernah menjenguk anak-anak kami atas alasan terlalu sibuk; tetapi di kala PRU lalu, mereka mendatangi kami menabur pelbagai janji manis, namun belum ditepati sehingga kini.

Salam Hormat,

BAPA KECEWA

No comments:

Post a Comment