Monday 6 May 2013

SPEKULASI BN KECUNDANG HANYA ELUSI






MENANG.... Radin dan Raime mengangkat tangan sejurus selepas kemenangan mereka diumumkan Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya Ajmal Haji Jumah.

Oleh: JACOB BALANG

TENOM: Spekulasi hangat pelbagai pihak di sini sebelum pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) kononnya akan berlaku perubahan kepimpinan pemimpin lama dan Barisan Nasional (BN) bakal kecundang kerana pengundi golongan muda telah berpihak kepada pembangkang.

Bagaimanapun spekulasi tersebut meleset apabila ketiga-tiga wakil rakyat di sini terdiri daripada Datuk Raime Unggi berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Tenom untuk penggal ke-3; Datuk Radin Malleh terus kekal bagi kerusi DUN Melalap untuk penggal ke-5 dan Datuk Rubin Balang bagi DUN Kemabong untuk penggal ke-5.

Meskipun begitu, ketiga-tiga mereka (wakil rakyat BN) turut menghadapi tekanan daripada pihak lawan khususnya pembangkang yang kebanyakannya golongan muda dan cendikiawan; kecuali calon Parti KITA Mutang @ Sylvester Dawat yang bertanding Parlimen Tenom.

“Saya dapat andaikan kekuatan mereka sudah mula menurun kerana jika dilihat dari segi majoriti yang mereka perolehi dalam PRU13 sudah menurun berbanding pada PRU12; manakala perolehan undi daripada pembangkang semakin meningkat.

“Lagi pun, kekuatan pembangkang tidak bulat dan berpecah kerana masing masing daripada mereka mahu menang menyebabkan pengundi keliru bercampur dilema mana satu yang harus diberi tumpuan,” kata seorang ahli politik veteran Haji Wahab Timpai.



AKUR .....Roger Stimin hormati keputusan pengundi dan tetap meneruskan perjuangan untuk membela rakyat.

Dalam pada itu, calon Parti Maju Sabah (SAPP) bagi DUN Melalap Roger Stimin ketika dihubungi berkata, beliau akur dan menerima keputusan rakyat; namun perjuangannya untuk membela rakyat di kawasan Melalap pasti diteruskannya walaupun dalam percubaan pertamanya gagal.

Tegasnya, kegagalan pertama itu tidak bererti perjuangan beliau sudah berakhir kerana memerlukan masa yang panjang untuk memberi keahaman kepada rakyat akar umbi akan intipati sebenar halatuju perjuanganya termasuklah definisi 'perjuangan berintergriti' dan 'dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat'.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga wakil rakyat BN yang menang dalam pemilihan itu dan berharap agar mereka terus bekerja untuk menunaikan 'Aku Janji' yang mereka sajikan kepada rakyat ketika berkempen semasa PRU13.

Keputusan pilihanraya umum kali ke-13 (PRU) yang diumumkan jam 12.10 pagi Isnin di Dewan Sri Antanom menyaksikan Parlimen P.181 Tenom, Datuk Raime bin Unggi (BN) mendapat undi 9,771; Mutang @ Sylvester bin Dawat (Parti KITA) 423; Jimmy Jawatah (SAPP) 1,766; Masdin Tumas (PKR) 5,885 dan Azroy Hasmin Abdullah (Star) 2,449.

Undi rosak sebanyak 632, peratusan keluar mengundi 82.5 peratus manakala majoriti kemenangan BN sejumlah 3,886 undi.

Bagi kawasan DUN N.35 Melalap, Datuk Radin Malleh (BN) memperolehi undi sebanyak 4,643 undi; Roger Stimin (SAPP) 2,044 undi; Noritah Sual (DAP) 1,997 undi dan Kong Fui Seng (Star) 924 undi. Undi rosak sebanyak 222, peratusan keluar mengundi 81.4 peratus dan majoriti diperolehi Datuk Radin Malleh sebanyak 2,559 undi.

Manakala di kawasan DUN N.36 Kemabong, Datuk Rubin Balang (BN) 5,765 undi; William @ Ensor bin Tingkalor (SAPP) 1,047; Tay Jin Siong @ Alfred 1,155 undi dan Biou bin Suyan (PKR) 2,733 undi. Undi rosak 404, peratusan keluar mengundi 84 peratus manakala majoriti undi yang diperolehi Datuk Rubin Balang 3,032 undi.

No comments:

Post a Comment