Tuesday 28 May 2013

TAK PANDAI BAHASA CINA, TAK JADI MASALAH







Oleh :  ZULAIKHA ZULKIFLI

TIMBALAN Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata tidak menjadi masalah baginya untuk menangani isu pendidikan Cina walaupun beliau tidak fasih berbahasa Cina.

Menurutnya, walaupun tidak pandai membaca dan bertutur dalam bahasa tersebut, beliau kini dibantu seorang pegawai yang akan memberitahu apa yang dilaporkan dalam akhbar bahasa Cina.

"Itu bukan isu. Saya pandai berbahasa Melayu dan Inggeris. Saya boleh baca dan bercakap dalam dua bahasa ini.

"Saya juga ada pegawai untuk bantu saya yang akan beri nasihat dan bacakan surat khabar Cina dan beritahu apa yang dilaporkan.

"Ada ramai pemimpin di dunia yang tak fasih berbahasa Inggeris tapi disebabkan ada pasukan yang kuat, mereka boleh bimbing negara dengan begitu berkesan," katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Digital Asia di ibu negara hari ini, Yap turut ditanya sama ada beliau dilantik untuk mewakili kaum Cina dalam jemaah menteri.

MP Tawau itu berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia.

"Saya telah bekerja di bawah Kementerian Pelajaran hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum, guru, pengetua dan sebagainya.

"Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah unjuran daripada 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya," katanya lagi.

Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini menimbulkan mengenai komposisi dalam senarai anggota kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina dalam untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persatuan itu juga membangkitkan mengenai menteri yang mewakili kaum tersebut tetapi tidak dapat bertutur dengan bahasa Cina dengan baik.

No comments:

Post a Comment