Sunday 12 May 2013

TECHNORATS JUAL APPLE TERPAKAI?






Oleh :AHMAD ZAKARIA


JIKA Steve Job masih hidup, mungkin beliau tidak membenarkan Technocrats di Sabah menjadi Agen menjual barangan Apple, apatah lagi tindakan syarikat berkenaan hanya mahu mengaut keuntungan, tetapi mempunyai pengalaman yang cetek tentang barangan yang mereka jual.

Demikian luahan rasa seorang graduan dari United Kingdom, Sarina Abdul Ganih yang terpaksa membawa kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Sabah setelah terpedaya dengan tindakan syarikat berkenaan menjual Thunderbolt Display berharga RM3,099 yang dikatakan sesuai untuk semua jenis barangan Apple, termasuk Mac Pro yang dibelinya di Kuala Lumpur.

Kesnya ini telah menarik perhatian pengguna Apple di Malaysia kerana buat pertama kalinya dalam sejarah tuntutan pengguna di Sabah barangan Apple dibicarakan di Tribunal Pengguna.

"Saya ingin membeli Display untuk Mac Pro saya dan Wakil Technorats telah meyakinkan saya bahawa Thunderbolt Display sesuai untuk Mac Pro. Mereka telah menguji peralatan berkenaan dengan Macbook Pro, bukannya dengan Mac Pro yang turut dijual di kedai berkenaan," kata Sarina yang kesal dengan sikap syarikat berkenaan yang hanya mementingkan keuntungan.

Tambahnya lagi, beliau mempersoalkan kenapa Wakil Syarikat Technorats menggunakan Macbook Pro untuk menguji kesesuaian Thunderbolt Display dan bukannya Mac Pro, tetapi diberitahu bahawa barangan berkenaan sesuai untuk semua komputer Apple.

"Setelah membayar tunai RM3,099, saya membawa balik Thunderbolt Display berkenaan untuk dipasangkan dengan Mac Pro saya. Malangnya Thunderbolt berkenaan tidak berfungsi sama sekali," kata Sarina yang terus menghubungi syarikat berkenaan yang terletak di Suria Shopping Centre, Kota Kinabalu untuk khidmat selepas jualan.

Pada mulanya Wakil Syarikat berkenaan bersetuju untuk datang pada jam 10 malam pada hari yang sama untuk membantu beliau mengenal pasti punca Thunderbolt Display tidak berfungsi.

Malangnya, kata Sarina, Wakil Technorats kemudiannya memaklumkan bahawa Thunderbolt yang dibelinya memang tidak sesuai untuk Mac Pro dan enggan bertanggung jawab di atas kesilapan mereka memberi khidmat nasihat yang salah kepada beliau.

"Saya meminta mereka memberikan saya Display yang sesuai untuk Mac Pro saya, namun mereka mengatakan bahawa barangan yang telah dijual tidak boleh dikembalikan atau ditukar ganti, kononnya menjadi dasar Apple dan Technorats sebagaimana amaran yang terdapat di resit pembelian," ujar Sarina lagi.

Sarina agak terkejut kerana Wakil Technorat yang menghubungi pada malam tersebut mencadangkan agar beliau mendapatkan Apple Cinema Display terpakai dan menyatakan bersedia untuk membantu beliau menjual semula Thunderbolts Display yang dibelinya kepada pelanggan lain dengan harga barangan terpakai.

Kata Sarina, beliau curiga dengan cadangan 'tidak waras' daripada Wakil Technocrats dan mengsyaki Thunderbolt Display yang dijual kepada beliau adalah barangan terpakai!

"Kenapa mereka merumitkan keadaan dan mencadangkan penyelesaian yang tidak profesional, sekaligus menjatuhkan imej Apple sebagai barangan Elit dunia," kata Sarina yang kesal kerana Technorats enggan menggantikan Display yang sesuai untuk Mac Pro dan terus mendesak untuk mendapatkan Display terpakai.

Setelah tidak ada jalan penyelesaian, kononnya pemilik Technorats berada di luar daerah, maka Sarina memaklumkan Wakil Technorats untuk memberitahu majikan mereka bahawa beliau akan memfailkan saman di Tribunal Tuntutan Pengguna.

"Dengan sombongnya Wakil Technorats memaklumkan bahawa majikannya tidak takut dengan amaran saya dan mengalu-alukan saya membawa kes tersebut ke Tribunal Pengguna kerana pihaknya mengamalkan polisi barangan yang telah dijual tidak boleh dikembalikan atau ditukar ganti," jelas Sarina yang terpaksa memfailkan tuntutan di Tribunal Pengguna Kota Kinabalu keesokan harinya.

Setelah mendapat notis saman daripada Tribunal Tuntutan Pengguna, Sarina memaklumkan beliau menghantar sendiri saman tersebut dan diterima serta ditandatangani akuan penerimaannya oleh Wakil Technorats.

Kata Sarina, sejak daripada beliau menghantar saman berkenaan, pemilik Technocrats tidak pernah menghubungi beliau untuk penyelesaian di luar mahkamah; termasuk menggantikan Thunderbolt atau mengembalikan wang beliau.

Sarina memaklumkan bahawa pada 23 April, Presiden Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia di Kota Kinabalu, Datuk Dr Lawrence S.H.Thien telah membuat penghakiman berikut;

1. Penentang (Technorats) hendaklah membayar RM3,099 kepada Pihak Yang Menuntut dalam masa 14 hari dari tarikh Award.

2. Penentang hendaklah mengambil balik Apple Thunderbolt Display daripada Pihak Yang Menuntut selepas Pihak Yang menuntut menerima bayaran dalam masa 14 hari dari tarikh Pihak Yang Menuntut menerima bayaran.

Bagaimanapun kata Sarina, beliau hanya menerima cek bayaran RM3,099 daripada Technocrats pada 04 Mei 2013 dan terus mengembalikan Thunderbolt Display berkenaan tanpa menunggu tempoh 14 hari yang diberikan dalam award luput.

Sehubungan itu, Sarina mengingatkan para pelanggan agar berhati-hati barangan Apple daripada Technocrats bagi mengelak mereka menerima malang seperti beliau.

"Saya menyeru agar Apple Malaysia mengkaji semula kontrak perlantikan wakil jualan dengan Technocrats bagi mengelak lebih ramai mangsa terperdaya dan mendapat khidmat nasihat yang salah kerana kakitangan mereka tidak kompeten," kata Sarina.

Sarina juga menasihati agar mangsa Technorats segera memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Sabah kerana pengguna berhak mendapat kembali wang mereka sekalipun Technorats atau syarikat berkaitan mengamalkan dasar yang bercanggah dengan Akta Perlindungan Pengguna iaitu Barang yang telah dijual tidak boleh dikembalikan atau ditukar ganti.

2 comments: