Thursday 9 May 2013

TINDAKAN TERHADAP AHLI SABOTAJ PARTI






TAWAU : Ketua Umno bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menggesa pucuk pimpinan Barisan Nasional pusat agar bertindak tegas ke atas ahli-ahli BN yang bertindak mensabotaj parti dalam Pilihan Raya Umum ke13 baru-baru ini.

Di bahagian Kalabakan sendiri katanya, terdapat beberapa ahli BN yang dikenal pasti melakukan perkara itu dengan menaja serta berkempen untuk menentang calon-calon BN, ekoran rasa tidak puas hati kerana tidak terpilih sebagai calon.

"Saya sendiri menerima banyak maklumat tentang mereka ini. Bukan satu dua orang yang memberitahu saya tetapi ramai. Oleh itu, saya berharap laporan yang dihantar dapat diberi tindakan sebab mereka ini adalah 'duri dalam daging' yang boleh merosakkan parti," katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang PRU13 yang berlangsung pada Ahad lalu.

Dalam pilihan raya itu, Ghapur yang ditentang enam calon lain bagi kerusi Parlimen Kalabakan berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya apabila memperolehi 23,125 undi dengan majoriti undi sebanyak 14,221 undi.

Menyentuh kemenangannya, beliau mengucapkan syukur dan menganggap kemenangan itu membuktikan bahawa BN masih di hati rakyat kerana selama ini BN banyak mengambil langkah-langkah yang dapat meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun, pihaknya juga akan membuat post mortem untuk semua kerusi bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan BN di kawasan-kawasan yang menerima kurang undi agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil.

Ghapur juga bertekad untuk bekerja dengan lebih kuat khususnya dalam menyuarakan kepentingan, keperluan dan permasalahan rakyat di bahagian Kalabakan dan memastikan lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke kawasan itu.

Ketika ditemubual, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pucuk pimpinan BN, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas kejayaan membentuk kerajaan dalam pilihan raya ini. (Utusan Borneo)

No comments:

Post a Comment