Friday 31 May 2013

TRANSFORMASI TEKNOLOGI BARU NKEA






DENGAR....NAJIB Tun Razak mendengar penerangan daripada Pengarah Projek MRT, Marcus Krakashian (kanan) mengenai Mesin Pengorek Terowong (TBM) Pelbagai Ketumpatan pada majlis pelancaran mesin itu di depoh MRT Portal Cochrane, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh : RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Mesin Pengorek Terowong (TBM) Pelbagai Ketumpatan pertama dunia bagi pembinaan terowong projek Mass Rapid Transit (MRT) yang dibina khas secara bersama oleh syarikat tempatan, MMC Gamuda KVMRT Tunneling Sdn. Bhd. dengan syarikat Jerman, Herrenknecht AG.

Perdana Menteri berkata, projek itu membuka satu lembaran baru dalam memartabatkan kebolehan syarikat serta rakyat Malaysia dan contoh terbaik bagi membolehkan negara muncul sebagai pelopor dalam bidang yang amat khusus iaitu pembinaan terowong.

Kata beliau, keupayaan MMC Gamuda KVMRT bekerjasama dengan Herrenknecht selaku pembina TBM terulung dunia merupakan bukti keupayaan syarikat tempatan dalam menjana idea yang mampu mengubah sesebuah industri.

"Industri pembinaan terowong ini adalah satu industri yang akan terus berkembang di masa hadapan.

"Jika Malaysia terus membina keupayaannya dalam bidang ini, satu hari nanti tidak mustahil Malaysia sendiri akan menjadi pendahulu industri berteknologi tinggi yang amat kompetitif bukan sahaja di rantau ini tetapi dunia," katanya ketika berucap melancarkan TBM tersebut di MRT Portal Cochrane di sini hari ini.

Pelancaran itu menandakan permulaan penggalian terowong sepanjang 9.5 kilometer untuk projek MRT jajaran pertama dari Portal Semantan di Jalan Duta ke Portal Maluri di Cheras.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa merangkap Pengerusi MRT Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.); Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp., Datuk Azhar Abdul Hamid.

Najib menambah, pelancaran itu membuktikan kerajaan komited dalam memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat terutama di Lembah Klang di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan program Transformasi Ekonomi 'Greater Kuala Lumpur/Klang Valley.'

Katanya, dalam penggal pertama pentadbirannya yang lalu, beliau memilih untuk mengutamakan pencapaian sebagai penanda aras kerajaan dan usaha agar Malaysia mampu menjadi sebuah negara moden dan maju menjelang 2020.

"Dengan mandat baharu daripada rakyat Malaysia, saya akan memastikan semua inisiatif yang telah dilancarkan akan diteruskan dan mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, projek MRT jajaran pertama dari Sungai Buloh-Kajang dijangka siap pada penghujung 2016 serta mula beroperasi Julai 2017 dan MRT Corp. kini menunggu cadangan SPAD untuk pembinaan projek jajaran kedua MRT.

"Apabila diputuskan (projek jajaran kedua MRT), pengumuman akan dibuat oleh kerajaan pada masa bersesuaian," katanya.

Mengulas mengenai penggalian terowong MRT menggunakan TBM Pelbagai Ketumpatan itu, katanya, ia perlu direka khas ekoran kepelbagaian struktur tanah serta batu yang pelbagai di Lembah Klang, terutama formasi batu kapur yang rumit.

Katanya, sebanyak enam TBM Pelbagai Ketumpatan berharga RM50 juta sebuah dan empat TBM 'Earth Pressure Balance' (RM30 juta sebuah) digunakan dalam projek MRT dan setiap satu mampu mengorek sejauh tujuh hingga lapan meter sehari. (UM)

No comments:

Post a Comment