Friday 31 May 2013

TUGAS SUKAR MENANTI NANCY






PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik, Nancy Shukri berkata beliau akan melihat bidang yang perlu penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan undang-undang negara dan proses pentadbiran.

Mengakui ia adalah tugas sukar yang perlu dipenuhi, beliau berkata maklum balas daripada orang ramai juga akan dianalisis untuk tujuan itu.

“Petugas di sini semuanya berkebolehan, mereka akan menyokong saya dan saya pasti kita boleh bekerja sebagai satu pasukan untuk memberi perkhidmatan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugas oleh bekas menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di sini hari ini.

Nancy akan menjaga 11 daripada 19 agensi yang sebelum ini di bawah seliaan Mohamed Nazri selama sembilan tahun, termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Amanah Raya Berhad (ARB), Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Sementara itu, Mohamed Nazri, yang sekarang merupakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata beliau percaya dan yakin Nancy mampu melaksanakan tugas itu.

“BHEUU akan mempunyai seorang menteri yang bagus, saya tidak ragu-ragu tentang itu. Dan saya tahu beliau boleh menerajui kementerian ini dan beliau boleh melaksanakan tugasnya seperti yang anda harapkan,” katanya.

Ditanya mengenai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang masih belum dilantik, Mohamed Nazri berkata ia akan dilakukan oleh Nancy selepas berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berhubung Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohamed Nazri berkata walaupun ia di bawah skop beliau sebelum ini, ia kini diletakkan di bawah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Bernama)

No comments:

Post a Comment