Wednesday 1 May 2013

UBAH PR BELUM JANJIKAN PERUBAHAN






JOHOR BAHARU : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengingatkan rakyat bahawa slogan 'Ubah' yang sering dilaungkan pembangkang belum pasti menjanjikan perubahan yang lebih baik kepada negara ini.

Katanya, perubahan yang hendak dibawa pembangkang itu boleh bertukar kepada sesuatu yang lebih buruk kepada negara.

"Jangan main dengan istilah dan perkataan, banyak ahli politik guna 'change', pembangkang di Malaysia pakai 'ubah'. Tetapi 'change' boleh bawa sama ada kepada kebaikan ataupun keburukan," kata beliau.

Memberikan contoh perubahan seperti negara-negara yang mengalami 'Arab Spring', beliau berkata sebuah daripada negara itu yang dahulunya menerima kedatangan 14 juta pelancong setahun kini hanya menerima 700,000 pelancong sahaja.

Berucap semasa Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri yang dianjurkan Barisan Nasional Parlimen Johor Baharu di sini hari ini, beliau berkata negara itu kini muflis dan memohon pinjaman daripada Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; calon kerusi Parlimen Johor Baharu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan calon BN yang lain.

Najib turut berkata, dasar transformasi yang diperkenalkan kerajaan telah meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus tahun lalu selain Bursa Malaysia mencecah paras 1,700 mata, yang tertinggi pernah dicatatkan sehingga kini.

Kejayaan tersebut, katanya, membuktikan kekayaan negara bertambah, inflasi rendah dan negara juga akan mempunyai 3.3 juta peluang kerja baharu menjelang tahun 2020.

"Oleh sebab itu, apa lagi yang hendak diubah?" katanya.

Najib turut melancarkan Laporan Prestasi P160 Parlimen Johor Baharu 2008-2013.

Beliau sekali lagi mencabar pemimpin pakatan pembangkang yang belum mengemukakan kad laporan prestasi mereka untuk berbuat demikian bagi negeri-negeri yang mereka perintah sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

No comments:

Post a Comment